Malaysia jatuh anak tangga ke-141 daripada 195 negara

Pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia hari ini adalah satu tekanan terbaru kerajaan melumpuhkan peranan media untuk melaporkan perbahasan isu dan polisi yang berkaitan dengan kepentingan rakyat di Dewan Rakyat.

Parlimen adalah badan perundangan tertinggi negara yang berhubungkait dengan segala aspek hidup rakyat semua lapisan masyarakat. Oleh itu media memainkan peranan penting dalam menyebarkan isu-isu berbangkit yang melibatkan kepentingan umum dalam perbahasan ahli-ahli dewan rakyat.

Sejak Parlimen mula bersidang selepas Pilihanraya Umum ke-12 dengan scenario baru Pakatan Rakyat menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional, kebanyakan media menghantar lebih daripada lima orang wartawan untuk membuat liputan berita yang lebih menyeluruh dan mendalam.

Media televisyen juga terpaksa membuat rakaman di luar dewan sepanjang hari kerana siaran langsung sidang Parlimen terhad kepada hanya setengah jam pertama bagi sesi soal jawab sahaja.

Namun mulai semalam, media telah dihadkan kepada tidak lebih daripada lima orang wakil. Hari ini media dikejutkan lagi dengan sekatan untuk membuat liputan berita di lobi Parlimen yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar.

Adakah sekatan ini bertujuan melindungi menteri daripada pertanyaan media yang sentiasa menginginkan penjelasan atau penerangan daripada menteri?

Freedom House baru-baru ini meletakkan Malaysia pada tangga ke-141 daripada 195 negara yang dikaji dalam senarai kedudukan kebebasan akhbar. Ini bermakna Malaysia tergolong dalam kategori "negara yang tidak bebas" bersama dengan negara-negara di Benua Afrika seperti Cameroon dan Libya.

Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati media, malah tidak menghormati rakyat yang ingin melihat perubahan selepas Pilihan raya Umum ke-12.

Percubaan kerajaan untuk menyekat berita daripada sampai kepada rakyat akan menjejaskan kredibiliti kerajaan yang telahpun merosot.

Ketua Pembangkang Dewan Rakyat,
Ahli Parlimen Permatang Pauh._

0 comments: