Lintas-lansung Demonstrasi Masjid Kampung Baru - KLCC


3.15 petang Polis memberitahu Malaysiakini, tiada tangkapan dalam perhimpunan tersebut dan keadaan kini terkawal.

Beberapa ratus penyokong pembangkang berhenti di depan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, dipercayai akan bersurai di situ.

3.00 petang Kumpulan penyokong pembangkang berarak di sepanjang Jalan Raja Laut, menuju ke arah ibu pejabat PAS. Mereka masih diketuai oleh ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Lalulintas, yang melimpah ke tengah-tengah jalan tersebut, dikawal oleh Unit Amal PAS.

2.50 petang Pasukan polis, khususnya FRU, menuju ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di atas simpang dekat Kompleks Pertama-Sogo.

Polis dalam keadaan berjaga-jaga di Jalan Dang Wangi.

2.45 tengahari Ketua angkata muda PKR menyampaikan ucapan selepas ucapan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Syed Nawawi.

Penyokong pembangkang melaungkan slogan "BN naik, minyak naik, BN turun, minyak turun."

2.37 tengahari Perarakan bantahan harga minyak berada di Kompleks Pertama- Sogo dan beberapa ratus duduk, berkumpul, di atas jalan.


2.30 tengahari Kumpulan penyokong pembangkang berada di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, menuju Kompleks Pertama-Sogo, dipercayai untuk mengelak bertembung dengan polis.

Mereka melaungkan slogan "Hidup, hidup. Hidup rakyat" berkali-kali.

2.23 tengahari Kumpulan penyokong pembangkang berada di kawasan Chow Kit, dan mula bergerak sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Perarakan dipimpin ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mereka melaungkan slogan "Hidup, hidup. Hidup rakyat" berkali-kali.

2.11 tengahari Kira-kira 1,000 orang mula bergerak ke sepanjang Jalan Raja Alang, tidak meneruskan perjalanan seperti dijadualkan di Jalan Raja Abdullah susulan sekatan sekumpulan anggota polis FRU.

2.00 tengahari Solat selesai, ahli-ahli jemaah keluar masjid dengan slogan-slogan "turunkan harga minyak" dan mengecam perdana menteri.

1:45 tengahari Orang ramai sesak di dalam dan luar masjid, dijangkakan jumlah mereka kira-kira 3,000.

1.20 tengahari Imam Masjid Kampung Baru menasihatkan para jemaah supaya jangan berkumpul dalam kawasan masjid.
1.00 tengahari Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salehuddin Ayub yang juga ahli Parlimen Kubang Krian serta timbalannya, Nasaruddin Tantawi tiba untuk bersembahyang Jumaat di Majlis Kampung Baru.

Turun hadir ialah ahli Parlimen PAS bagi Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Syed Azman Syed Nawawi yang ahli jawatankuasa PAS pusat.

Sebelum ini, kira-kira 60 anggota polis, termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sudah ditempatkan di depan Masjid Kampung Baru dan kawasan sekitarnya mulai jam 11.15 pagi ini ekoran rancangan Pemuda Pakatan Rakyat untuk mengadakan perarakan ke Menara Berkembar Petronas bagi membantah kenaikan harga minyak.


Dua buah trak kecil yang masing-masing membawa lapan anggota tiba kira-kira jam 11.15 pagi manakala sebuah lagi trak besar yang membawa kira-kira 15 anggota tiba di situ kira-kira lima minit kemudiannya.

Manakala empat lagi trak bersama kira-kira 30 anggota FRU tiba sejurus kemudiannya.

Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air yang ditempatkan di Jalan Raja Abdullah.

Pada kira-kira jam 12.40 tengahari, kira-kira 40 anggota polis kelihatan sedang bergerak dari Jalan Raja Alang ke Jalan Raja Abdullah.

Lagi anggota FRU kelihatan bergerak dengan trak ke Jalan Raja Alang.

Di dalam kawasan masjid, kelihatan sekumpulan 30 orang, termasuk tiga daripadanya memakai baju-T berwarna hijau bertulis Pakatan Rakyat.

Difahamkan perhimpunan dan perarakan hari ini dianjurkan oleh Pemuda Pakatan Rakyat.

Keadaan di sekitar masjid kelihatan seperti biasa. Walaupun terdapat ramai anggota polis di situ, gerai-gerai di tepi jalan dibuka seperti biasa.

Kira-kira 20 anggota polis mengawal di persimpangan Jalan Raja Abdullah/Raja Alang, tetapi orang ramai boleh lalulalang di situ menuju ke masjid.

Sementara tujuh trak FRU, serta sebuah trak meriam air telah ditempatkan di kawasan di belakang KLCC.

Manakala sepuluh lagi anggota polis kelihatan berkawal di pintu masuk utama KLCC.

Semalam, Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata antara 1,500 hingga 2,000 anggota polis, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Rela akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghalang perarakan itu.

Katanya, anggota polis dari balai polis daerah Dang Wangi dan Sentul juga akan berkawal di sekitar kawasan tersebut.

Beliau juga melaporkan berkata, jika perlu, polis akan menutup beberapa jalan yang menghala ke kawasan (masjid), itu jika perlu," katanya.

Sabtu lalu, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub mengumumkan acara perarakan sejauh lebih dua kilometer itu.

Sehubungan itu, polis telah memanggil setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, untuk membincangkan perkara tersebut.

Angkatan Muda PKR (AMK) juga menyatakan kesediaannya menyertai perarakan tersebut kelmarin.

Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman kenaikan harga minyak secara mendadak Rabu minggu lalu.



Note: Dikemaskinikan dgn foto - 4.36 pm

0 comments: