Satu perhimpunan besar-besaran akan dianjurkan GMI bagi membantah akta zalim ISA yang telah sekian lama meragut kebahagiaan banyak pihak.
Perhimpunan tersebut akan diadakan pada Sabtu, 28 Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam, bermula jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.
Pada malam tersebut, empat pemimpin Pakatan Rakyat dan dua aktivis dan wakil NGO akan berucap, iaitu Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; bekas tahanan ISA dan juga Adun Hulu Klang, Saari Sungib; penulis bebas dan juga bekas tahanan ISA, Lee Ban Chen; dan wakil Hindraf, R. Thanenthiran.
Menurut Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Norlaila Othman, pada malam tersebut, GMI akan melancarkan baju T merah hitam, promosi buku 'Dunia Tanpa Suami 2', deklamasi puisi, dan persembahan multimedia.
Pada malam itu juga, Norlaila berkata satu pengisytiharaan mengenai 'Hari Merah Hitam' akan dilakukan, di samping pameran yang menceritakan pengalaman para tahanan di Kamunting.
"Jika mahu mendapat gambaran sebenar pengalaman dan kesengsaraan yang dialami para tahanan, datanglah beramai-ramai pada malam itu kerana pameran lukisan (yang dilukis oleh tahanan sendiri) itu tidak dapat dilihat di mana-mana, kecuali pada malam itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau juga berkata pada malam tersebut, baju T merah hitam akan dijual Oleh Unit Amal PAS dengan harga RM20, manakala buku 'Dunia Tanpa Suami' dengan harga promosi, RM10.
Dalam pada itu, Norlaila mengalu-alukan kedatangan keluarga tahanan ISA yang masih ditahan agar hadir pada malam tersebut kerana mereka (keluarga tahanan ISA) adalah tetamu kehormat pada malam itu.
Bagaimanapun, katanya bagi keluarga tahanan yang ingin hadir pada malam tersebut, perlu berurusan dengan Norlaila bagi tujuan kemudahan dan sebagainya.
Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuka gerai, perlu membuat tempahan di talian 013-6782616 (Encik Haidir). - mks._
The King, his family and U
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment