Meransangkan Otak

Apa akan terjadi sekiranya enjin kereta kita dibiarkan dengan lama tanpa kita start? Ia akan semput, susahnya nak start dan kadang-kadang sampai boleh rosak.

Begitu juga dengan otak kita. Mungkin ramai yang sangka, otak kita kalau selalu sangat digunakan, selalu sangat berfikir, ia akan rosak atau menjadi lesu dan penat sebab terlalu banyak berfikir.

Sebenarnya kalau anda tahu, otak kita akan jadi lebih efisyen dan lebih sihat apabila lebih banyak kita berfikir. Di sini juga adalah sebahagian dari cara menggerakkan momentum untuk terus berjaya.

Perbanyakkan berfikir mengenai idea-idea baru, cara kita menjadi lebih kreatif dalam perniagaan, cara bersaing, strategi-strategi baru dalam perniagaan, cara menarik pelanggan, cara mendapatkan pelanggan yang hilang dan sebagainya.

Apa yang saya selalu lakukan adalah, bawa buku nota & pen (yang macam buku 555 tu pun takpe) ke mana sahaja. Dapat je idea, cepat-cepat tulis. Kadang-kadang dalam sehari, berpuluh-puluh idea yang kita dapat!

Lebih banyak anda berfikir, maka lebih efisyen otak anda. Dan otak yang efisyen ni pula akan memberi idea-idea yang lebih bernas yang tidak pernah anda fikirkan!

Begitu juga dalam hal-hal kerohanian, besar jugak ganjarannya kalau kita fikir, risau & bimbang dengan ummat Nabi saw. Bagaimana semua orang selamat dari neraka & bagaimana semua orang juga dapat gathering bersama di syurga Allah s.w.t. Bagaimana agama Allah jadi makmur macam zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. dulu. Semua ni akan meransang otak.

Cuba anda tengok orang yang teguh agamanya, nampak dia rilek je perasan tak?

Selamat berpuasa untuk hari ke-5!


Baca Selanjutnya...

Ramadan menggamit keinsafan, mengisi bekalan iman dan takwa - Dato' Husam Musa

Ramadan bulan ajaib sudah tiba. Keinginan untuk mendekat, serta merta bertambah. Sebuah tarikan yang kuat. Kita ingin menjadi manusia baru melalui proses The Power of 30 days.

Bulan retreat, segala perlakuan biasa kita, kita tinggalkan pada genap 30 Sya'aban, melangkah masuk ke hari pertama ramadan dengan program komprehensif, bertubi-tubi.

Hari biasa,jadual sarapan, makan tengahari dan malam, kini kita berlapar. Haus.

Lintasan fikiran kita terus ke Padang Mahsyar dengan segala kehausan dan kelaparan, lama dan berat. Tidak tertanggung.

Bukankah, timbul keinsafan untuk kita menjadi manusia baik yang tidak akan kelak menderita tanpa sesiapa menjenguk menghulur segelas Coca Cola di Perhimpunan Pembalasan yang ngeri itu.

Perut yang kita rajakan selama ini mengempis, membakar lemak-lemak yang telah kita kumpulkan setahun lamanya, lalu tidakkah hati tertumpah kepada para fuqara�, anak-anak yatim dan mereka yang melarat, di mana kelaparan adalah hiasan hidup mereka.

Hati kita menjadi lebih syahdu. Keinsanan seorang insan. Dan keihsanan seharusnya segera memancar, lalu anda menjadi pemurah. Bukankah itu selanjutnya menambahkan pertautan kasih sesama insan concern and caring?

Paling tidak, anda hulurkan semangkuk kuah, pada jiran anda, kata Rasulullah.

Kita dahulukan dengan sahur. Kita dipaksa, ya, dipaksa 30 hari dalam setahun untuk bangun pada waktu yang sukar, tapi penuh berkat. Waktu Tuhan menjanjikan pengampunan dan kurnia, waktu si mukmin bertekuk ".. pada waktu Sahur, mereka memohon keampunan..." (Surah az Zaariyat, ayat 18).

Al-Quran? Ia 'emel Tuhan untuk kita. Tapi kesibukan kita, atau sebenarnya sikap tak endah kita, kita lupa membaca warkah yang mahal itu. Kita, kita gelarkan diri kita para pejuang Islam, juga lupa mentelaahnya..ah? Ramadan merayu kita untuk berfikir semula tentang Quran dan kita.

Dalam qiam Tarawih yang indah dan dalam sayup suara di mana-mana, alunan Quran membawa kita membacanya dari lembar ke lembar, sehingga tamat.

Suluhan petunjuknya kita sematkan di dada, kisah dan teladan kita telusuri semula, hikmah dan maknanya, kita studi sekali lagi. Harapan dan suruhannya, kita perkukuhkan azam menghayatinya.

Larangannya, kita tidak biarkan ia berlalu tanpa menyentuh hati kita untuk berubah.

Bulan ulangkaji. Bulan koreksi diri. Bulan mengisi tangki bekalan iman dan taqwa. Bulan kesabaran. Jika ada yang mengherdik dan menyakiti hati anda, katakanlah pada mereka, "Saya berpuasa. Saya berpuasa. Saya berpuasa."

Ia tidak mudah. Tapi kan Ramadan itu meninggalkan yang buruk-buruk di pagar harinya yang pertama.

Kata Rasulullah, berapa ramai orang yang berlapar, berdahaga dan berdiri malam, ia hanya sia-sia? Malang sekali. Ini yang seharusnya paling kita takuti. Dalam asyik mengejar ganjarannya, kita terlepas semuanya.

Bukankah ini sahaja sudah cukup untuk mentransform individu dan masyarakat Islam seluruhnya melalui Ramadan al-Karim?

Ahli Parlimen, para Menteri dan pembuat dasar, karyawan, pengarang dan penulis, peniaga, pekerja, berpuasa dengan ingatan ini, mana lagi kacau bilau dan hiruk pikuk yang tidak menentu dalam masyarakat Malaysia kita?

Munasabahlah, Allah menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.

Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di ramadan-Mu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat yang bertakwa, satu masa. Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurga-Mu.

Alangkah bahagianya, sekali lagi Engkau izinkan aku menemui ramadan-Mu yang Pemurah.


Baca Selanjutnya...

Tulis semula sejarah untuk perbetulkan fikiran rakyat


Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mengharapkan agar konsep kemerdekaan dapat diperbetulkan dalam pemikiran rakyat Malaysia dengan adanya penulisan semula sejarah kemerdekaan.

Katanya, sejarah kemerdekaan perlu diperbetulkan khususnya dalam pengajian sejarah di Institusi Pengajian Tinggi dan di sekolah-sekolah.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah pada majlis Ambang Merdeka anjuran Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Pusat, dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Pandan di Dataran MPAJ, Pandan Indah, malam semalam.

Turut serta dalam ceramah tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi dan Exco Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi.

Mohamad turut mengharapkan sebagai pengisian kemerdekaan , penonton tidak hanya sekadar dihidangkan dengan filem-filem seperti Sarjan Hassan dan Bukit Kepong yang disiarkan saban tahun.

" Tiada sesiapa pun yang berminat untuk membuat filem mengenai pejuang kemerdekaan yang sebenar seperti Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Mat Kilau dan Dr Burhanuddin al Helmy. Dan jika ada pun yang membuat filem seperti ini, barangkali Lembaga Penapis Filem akan mengharamkan filem -filem mengenai pejuang ini kerana mereka yang terlibat dalam penapisan filem ini di kalangan orang Umno.

"Kita bersyukur kepada Allah di atas kemerdekaan tersebut walaupun sejarah kemerdekaan tersebut banyak diselewengkan. Apabila menjelang kemerdekaan, nama Tunku Abdul Rahman disebut sebagai bapa kemerdekaan. Memang kita mengakui Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak mengambil alih kemerdekaan. Kita bukan hendak menafikansumbangan mereka. Tetapi mereka bukan pejuang kemerdekaan yang sebenar.,"katanya.

Tambahnya, sukar bagi PAS untuk memperbetulkan sejarah kemerdekaan selagi PAS belum menaungi kerajaan pusat.

Sementara itu katanya, sejak ditubuhkan 57 tahun lalu, PAS sentiasa mencari jalan untuk memperkenalkan parti dan jemaah kepada seluruh masyarakat.

"Dr Mahathir pernah menyebut PAS lebih bahaya daripada komunis. Dato' Onn pula pernah menyatakan antara dua gunung, iaitu gunung komunis dan Gunung Semanggol, Gunung Semanggol lebih bahaya. Di Gunung Semanggol inilah lahirnya gerakan Islam Hizbul Muslimin.

"Pelbagai label diberi, terutama label PAS kepada bukan Islam sekiranya mereka memberi sokongan kepada PAS. Begitu juga kepada kaki tangan kerajaan. Biro Tatanegara memainkan peranan menggambarkan betapa buruknya negara jika Umno tidak memerintah selepas merdeka,"katanya.

Dalam pada itu katanya, PAS akan terus bergerak atas landasan perjuangan mengharapkan perpaduan dengan semua kaum akan terus terpelihara.


Baca Selanjutnya...

Usrah itu tak wajib @ wajib?

Abang Hakim, usrah tu wajib ke? “ satu soalan keluar dari peserta muslimat Simposium Nuqaba’ anjuran Rakan Masjid. Kelihatan muka peserta yang lain menanti dengan penuh tanda tanya.

“ Usrah itu wajib dan tak wajib”. Jawab ana dengan tenang dan yakin. “Aik, macam mana pula tu?” Soal pula peserta muslimat yang lain. Ana sudah duga persoalan itu akan keluar. Mulut mengukir senyum. Bagus, stratergi untuk memancing minat mereka bertanya dah mengena.

Begini, usrah itu wajib kepada orang yang menjadi ahli da’wah dan tidak wajib kepada yang bukan ahli da’wah.” Permulaan jawapan yang sengaja dibiarkan berselirat. Ya. Umpan mengena lagi, kali ini dari adik muslimin. “Erm.. macam mana tu abang hakim, bukan ke setiap orang yang mengatakan lailaha illa allah itu seorang daie”. Jelas kelihatan dan keserabutan di muka setiap peserta.

Slot tengahari memang sukar untuk dipenuhi. Mata mudah mengantuk. Badan cepat letih. Sebab itu ana mengambil pendekatan provokasi dalam menyempurnakan slot ketika cinta bertasbih tengahari ini. Slot yang menjemput naqib yang pernah mengendalikan smart group dengan jayanya satu ketika dahulu. Entah kenapa, komiti gatal menjemput ana dan ana pula terlepas cakap memberi persetujuan. Sedangkan, ana bukanlah yang terbaik. Namun, kerana Allah demi Islam, ana galas juga amanah ini.

Ana menjawab, “Sebenarnya, kewajiban menyertai usrah ini jatuh kepada ahli da’wah iaitu orang yang telah berintima’ @ menyertai jemaah islam secara langsung. Sebagai analogi, hanya orang yang mendaftar di university sahaja yang wajib masuk ke lecture. Masyarakat yang tidak mendaftar di universiti tidak wajib untuk masuk ke lecture walaupun umur mereka sebaya.”

Justeru, dengan persetujuan menyertai jemaah islam bererti kita telah bersetuju menurut segala perancangan yang disusun oleh jemaah. Perkara pokok sebuah jemaah ialah tarbiyyahnya dan tunjang tarbiyyah ialah usrah.

Menyertai usrah adalah wajib kepada ahli jemaah kerana disitu tempat percambahan fikrah jemaah berlaku. “Abang Hakim, maknanya usrah tue tempat kita menuntut ilmu ye?” seorang peserta mengajukan soalan. Ana tersenyum. Bagus, mereka semua bersemangat dan tidak tidur.

“Usrah bukanlah tempat menuntut ilmu!” Beberapa orang peserta kelihatan tercengang dan terkebil-kebil mata. Ana menyambung lagi, “Usrah juga bukanlah tempat untuk berukhuwwah” Kelihatan kerut di beberapa muka peserta. Sengaja ana biarkan mereka terus berfikir.

Sebenarnya usrah adalah tempat untuk kita berbincang, bukan untuk menadah kitab. Usrah bukanlah tempat untuk berukhuwwah, tapi tempat untuk membina ukhuwwah. Outcome dari usrah barulah kita katakan mendapat ilmu dan ukhuwwah.

Sebagai analogi, di kilang kereta, orang tak naik kereta. Di situ tempat buat kereta. Dari besi yang besar, keras serta tidak berwarna, ia diketuk, dipanaskan , di pandu uji , dibentuk acuan dan kemudian dicat. Besi itu dipasangkan pula dengan stering, tayar , cermin dan pelbagai lagi. Setelah proses ‘tarbiyah’ itu berlaku, barulah sebuah kereta yang canggih dan lawa di pasarkan. Berebut-rebutlah kita memuji kemantapan kereta itu. Itu jika proses pembuatannya teliti, kalau cincai…. Bersiap sedialah dengan komen dan kutukan pengguna.

Begitulah dengan usrah, segala proses pembentukan itu berlaku dalam usrah. Dari seorang yang tidak dikenali kepada orang yang terkenal. Hasilnya hanya dapat dilihat di luar usrah. Sebab itu dahulu pernah dipopularkan satu istilah, “Usrah yang sebenar bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al fatihah.”

Muka peserta sudah mula cerah. Awan redup keliru mula berarak pergi. Kini perlu menghuraikan jawapan tidak wajib usrah pula. Peserta semakin tekun dan fokus. Perasaan ingin tahu mereka dicabar. Bagaimana satu soalan boleh ada dua jawapan yang bertentangan?

Tidak wajib menyertai usrah kerana dia bukan ahli da’wah. Menurut al Fadhil Ustaz Fathi Yakan, mad’u boleh diklasifikasikan kepada 2 golongan. Golongan istifadiah dan golongan jamhariah.

Golongan istifadiah ialah golongan ekslusif. Mereka sudah ada kesedaran islam. Bahkan mereka sudah mula dan mahu menyebarkan islam. Bagi golongan ini, mereka wajib berusrah kerana mereka merupakan golongan yang sudah berintima dengan jemaah. Mereka inilah yang kita gelarkan sebagai ahli da’wah.

Golongan jamhariah ialah golongan orang awam. Mereka baru nak berjinak-jinak dengan Islam. Kalau di UTP, mereka ialah adik-adik smart group. Mereka belum lagi menjadi ahli da’wah. Pendekatan kena berbeza dengan orang yang berlatar belakang pendidikan Islam. Kena banyakkan program sampingan seperti ziarah, riadah, makan bersama, rehlah dan apa sahaja yang boleh menarik minat.

Rumusan sudah dibuat. Peserta mengangguk-angguk tanda faham. Selepas habis slot tengahari itu, ana pasang satu video klip gambar usrah yang ana kendalikan. Ada yang kehairanan. Tiada pun ‘sut usrah’ yang kami pakai ketika usrah?

Ya, memang tiada set jubah dan serban dalam usrah kami. Wahai adikku sayang, tiada siapa kata usrah hanya boleh dijalankan di masjid semata bukan? Ingatlah , usrah bukanlah tempat untuk menuntut ilmu, tapi tempat untuk membina kefahaman. Selamat berusrah adik-adikku.


Baca Selanjutnya...

minyak turun RM0-70 dan bil letrik percuma RM20-00,mana satu gula gula? - Oleh ning

Analisa isu kali ini ingin mengupas persoalan yang ditimbulkan berkaitan bajet 2009 ia itu persoalan gula gula rakyat.Pembangkang menerusi PR mendakwa bajet 2009 ialah bajet yang memberi gula gula kepada rakyat sambil sejumlah peruntukan yang besar diagihkan kepada kroni.

Sebaliknya pula,kerajaan menerusi mulut PMnya pula menyatakan janji PR untuk menurunkan harga minyak sebanyak RM0-70 itu juga merupakan gula gula kepada rakyat.Apa yang cuba disampaikan oleh PM di sini ia lah PR sama saja dengan BN, suka gula gulakan rakyat demi kerana kuasa.Oleh itu rakyat diminta tidak terpengaruh dengan janji PR tersebut kerana PR akan bertindak serupa dengan BN kalau berkuasa ia itu akan mengula gulakan rakyat sambil kekayaan negara akan diagihkan di kalangan kroni mereka.Rakyat diminta secara tidak langsung untuk mengekalkan kerajaan BN sekarang serta dipaksa menerima hakikat bahawa kalau PR memerintah ianya akan bertindak serupa dengan BN.

Malang sungguh rakyat Malaysia kalau termakan pujukan ini.Alangkah hinanya rakyat Malaysia seandainya membiarkan pihak yang membentuk kerajaan bertindak serupa ia itu membahagikan kekayaan di kalangan kroni sambil memberi gula gula kepada rakyat.

Berbalik kepada bajet,bil letrik percuma hanya memerlukan sebanyak RM 570 juta tambahan perbelanjaan kerajaan,di mana perbelanjaan sejumlah ini bagi pihak kerajaan hanya satu perbelanjaan kecil sahaja berbanding dengan peruntukan berbilion ringgit kepada rapid kl,rapid penang WPI dan wilayah wilayah koridor.Di tempat tempat inilah menjadi lubuk kroni membuat harta sedangkan rakyat hanya melopong melihat mereka membahagikan harta negara seperti harta "BAPAK" mereka sendiri.

Jadi apalah sangat bil letrik percuma?bukankah seperti memberi gula gula kepada kanak kanak semata mata untuk mendiamkan mereka kepada lubuk emas yang sedang digali?Pada tahap ini,telah dapat dibuktikan bahawa bil letrik percuma hanyalah satu bentuk gula gula kepada rakyat sebagai usaha menutup mata mereka dengan agihan yang besar dilubuk lubuk yang disebut di atas.

Bagaimana pula janji menurunkan harga minyak?Kerajaan membisu seribu bahasa mengenai harga minyak yang menjadi sumber utama kepada peningkatan inflasi serta peningkatan harga barangan dan perkhidmatan lain.Oleh itu komitmen PR menerusi idea DSAI untuk menurunkan harga minyak seharusnya dilihat sebagai usaha yang pro rakyat dan anti kroni.Ini adalah kerana penurunan harga minyak ini bakal dinikmati oleh semua tanpa mengira kroni atau tidak secara adil dan saksama.Kesan pengganda kepada penurunan harga minyak ini dapat dianalisa dari berbagai sudut dan aspek yang kemudiannya menjurus kepada kestabilan dan kelegaan dalam memenuhi keperluan hidup rakyat.Bil letrik akan sendirinya menjadi murah dan banyak lagi barang barang keperluan lain akan turun dan ianya akan dinikmati bersama oleh rakyat.

Selain itu untuk menurunkan harga minyak,kerajaan memerlukan perbelanjaan besar dalam bentuk subsidi.Di sinilah letaknya perbezaan ketara antara PR dan BN.PR tidak seperti BN bersedia untuk mengurangkan peruntukan pembangunan yang sekarang ini dibuat oleh BN untuk kroni mereka.Penjimatan ini cukup untuk menurunkan harga minyak dan sekaligus akan melenyapkan budaya kroni di kalangan pemimpin PR.

Perkara inilah yang cuba dilindungi oleh PM ketika menyatakan bahawa janji PR untuk menurunkan harga minyak sebanyak RM0-70 ialah gula gula kepada rakyat.Tetapi kalau benarlah janji ini merupakan gula gulapun,ianya akan dinikmati bersama tanpa pilih kasih.Berbeza dengan bil letrik percuma yang mana hanyalah merupakan gula gula murah sambil puak gerabak kroni mereka mendapat gula gula yang mahal dan banyak di lubuk lubuk yang dibina untuk mereka.Di lubuk lubuk ini,rakyat tidak ada peluang langsung sedang kroni mereka bermaharajalela."


Baca Selanjutnya...

Rang Undang-undang DNA .... banyak loopholes!

Semenjak hari Isnin 25hb Ogos, kita berbahas rang undang-undang di atas. Sepertimana yang saya sebut, MP Pakakatan Rakyat beraksi dengan begitu hebat mengemukakan hujjah demi hujjah mengapa Rang Undang-undang ini perlu diserahkan kepada sebuah jawatankuasa pilihan (select committee) sebelum di kemukakan kembali untuk kelulusan di peringkat induk.

Seperti biasa, walaupun mengemukakan hujjah2 yang kukuh, sehingga menyebabkan beberapa MP BN menyatakan persetujuan mereka dengan hujjah kami, ianya ingin diluluskan juga.

Memandangkan ketidak sungguhan pimpinan BN dalam membahaskan rang undang-undang ini dan arahan mereka kepada semua MP BN untuk menyokongnya, maka kami keluar dari dewan sebelum amalan belah-bahagi (mengundi) dilakukan.

Tuan2 sendiri cuba fikirkan yang berikut:

1. Rang undang-undang ini memberikan kuasa untuk pihak polis mengambil ‘dengan segala cara yang perlu’ sesuatu sampel yang tidak intim daripada seorang yang ‘semunasabahnya disyaki melakukan kesalahan’.

2. Sampel ini diproses dan profil DNA yang diperolehi disimpan di Bank Data DNA yang mana Ketua dan Timbalan Ketua Bank Data DNA ini adalah pegawai polis!

3. Ketua Bank DNA ini diberi hak ‘untuk membetulkan butir2 dalam profil DNA dan apa-apa maklumat berhubung dengannya’ dan kuasa pembetulan ini ‘hendaklah dijalankan oleh Ketua Bank Data DNA secara sendirian’

4. Maklumat daripada Bank Data DNA adalah ‘suatu bukti muktamad!’ Maknanya kalau dikatakan ini DNA kamu, tiada siapa boleh pertikaikan dan kamu tidak boleh membawa apa2 keterangan untuk membuktikan sebaliknya.

5. Menteri, Ketua Bank Data DNA, Timbalan Ketua Bank Data DNA, pegawai Bank Data DNA, pegawai perubatan kerajaan atau ahli kimia yang terlibat dalam sesuatu kes tidak boleh didakwa (KEBAL) berkenaan ‘apa-apa perbuatan, keabaian, keingkaran atau peninggalan yang dilakukan olehnya dengan suci hati (???) dalam menjalankan kuasa, fungsi dan tanggungjawabnya di bawah Akta ini’.

Ini apa punya undang2 ini. Pihak tertinggi polis yang terkenal dengan peranan mereka dalam kes DSAI dulu diberi kuasa menyeluruh untuk mengenakan sesiapa sahaja yang ingin mereka kenakan melalui undang-undang ini.

Apa nak jadi pada Negara kita ini? Down... and further down the drain!!!

Dari: khalidsamad-shahalam.blogspot.com


Baca Selanjutnya...

Ramadhan: Mengembalikan fitrah manusia


“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu agar kamu bertakwa” ( Al-Baqarah 2:183 )

Disekeliling kita terdapat bermacam benda yang boleh dijadikan contoh kepada kualiti hidup manusia, komputer contohnya ketika mula-mula dibeli ianya dalam keadaan baik dan lancar tanpa ada gangguan dalam mengendalikannya atau ketika surf internet dan bermain games.

Tetapi oleh kerana tuannya tidak pandai untuk menjaga komputer tersebut dalam masa setahun atau lebih pasti komputer tersebut selalu hang dan dimasuki virus trojan dan brontok yang susah untuk dibuang. Tidak dapat tidak komputer tersebut perlu diformat semula supaya kelajuan akan menjadi seperti asal dan demi menjaga hardware dari terus rosak begitu saja.

Sebagaimana komputer, manusia juga lahir dalam keadaan bersih dan suci yang dlaam bahasa agama disebut sebagai ‘fitrah’ seperti firman Allah dalam Surah Ar-Rum : “ Hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang menciptakan manusia dengan fitrah itu, tidak ada perubahan ke atas fitrah tersebut. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahunya” (30):30.

Dalam perjalan hidup manusia dari Ramadhan tahun lepas sampai ke hari ini pastilah terdapat kesan-kesan hitam yang akan membuatkan hatinya tertutup dari menerima kebenaran kesan dari luka yang bernanah yang susah untuk sembuh juga turut menular ke masyarakat seluruhnya.

Jika komputer kita merawat dengan memformat semula window dan memasukkan fresh program ke dalamnya tetapi manusia Allah S.W.T telah menyediakan bulan Ramadhan sebagai bengkel untuk merawat penyakit-penyakit hati manusia supaya menjadi bersih dan suci seperti fitrah yang asal.

Apa yang diharapkan selepas di masukkan ke bengkel Ramadhan manusia tersebut akan keluar dengan semangat baru dan menjadi seorang yang Muttaqin iaitu seorang yang takutkan kepada kebesaran Allah S.W.T.

Di dalam bengkel tersebut manusia akan digandakan kekuatan dengan memberikan kuasa turbo kepada rohani iaitu pahala yang dibuat akan digandakan dengan sebanyak-banyak yang tiada dalam bulan lain. Begitu juga jasmani akan dikuatkan dengan solat terawih dan tahajjud yang akan memberikan kekuatan yang lebih pada tubuh badan.

Berpuasa di siang hari juga boleh menyembuhkan penyakit-penyakit tubuh badan, sabda Nabi yang maksudnya ; perut adalah sumber timbulnya penyakit dan mengosongkannya adalah ubatnya. Sehinggakan doktor pun mengakui ketika ingin membedah pesakit dia akan meminta pesakit tersebut supaya berpuasa. Inilah buktinya yang tidak dapat akal manusia menangkapinya.

JIka proses-proses ini dilalui dengan baik pasti sifat fitrah manusia akan terlihat selepas berakhirnya sebulan bengkel Ramadhan ini. Hal ini bergantung kepada manusia itu sendiri ketika berada dalam bengkel tersebut, adakah dia melalui dengan berkualiti atau sekadar menganggap remeh bengkel ini.

www.harisfadila.com


Baca Selanjutnya...

Perutusan Mursyidul Am PAS sempena Ramadan

Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia.

Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.

Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.

Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala.


Baca Selanjutnya...

Umno hadapi krisis moral dan budaya yang serius - Ku Li

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li) berkata, Umno sekarang ini menghadapi krisis budaya dan moral yang sangat serius akibat penularan rasuah dalam parti itu.

Berucap dalam satu majlis anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lepas, Ku Li menegaskan, selain berleluasa dalam parti yang memerintah rasuah juga sudah menjadi masalah besar dalam perkhidmatan awam.

"Masalah ini sudah menjadi 'open secret', yakni bukan rahsia lagi. Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa rasuah beli undi ini sudah menjalar ke seluruh akar umbi Umno.

"Saya anggap ini sebagai krisis budaya dan moral yang sangat serius, dan boleh memusnahkan Umno dan menjadikannya parti politik usang," tegasnya.

Teks ucapan Ku Li selaku Penaung MTRK dihantar kepada Harakahdaily menerusi emel.

Ku Li yang akan mencabar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perhimpunan Agung parti itu Disember depan turut melontarkan kebimbangan beliau, bahawa rasuah politik dalam Umno, hanya akan menyebabkan parti itu diterajui orang yang tidak layak.

"Dapatkah kita menjamin bahawa melalui rasuah politik dalam UMNO itu, hanya orang yang baik, cekap, bersih, jujur atau yang mempunyai kelayakan dan kemampuan yang kuat untuk memperjuangkan kepentingan parti dan anggota parti atau untuk menjadi pemimpin kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang?", soal beliau.

Ku Li turut memetik kata popular di kalangan Umno yang mengatakan, 'dalam Umno kalau anda tidak punya wang (tidak kira dari mana datangnya wang itu) jangan cubalah bertanding melawan calon yang kaya'.

Beliau turut memberi perumpamaan bahawa rasuah rasuah adalah seperti anai-anai yang boleh memakan asas atau tiang rumah.

Katanya, tiang (Umno) dan rumah (negara) akan roboh dan porak peranda jika 'anai-anai rasuah' tidak dibunuh dengan segera.

Dalam ucapannya juga Ku Li turut menegur kepimpinan Umno supaya menyelesaikan segera masalah ekonomi, perhubungan antara kaum dan pelbagai isu yang boleh menjejas kestabilan dan kedaulatan negara.

"Masalah inilah yang mesti kita tangani secara serius kalau kerajaan atau parti yang memerintah sekarang tidak mahu kehilangan keyakinan rakyat yang lebih teruk lagi daripada yang dialaminya selepas PRU ke-12," tegasnya.


Baca Selanjutnya...

Surcaj 30 peratus, jerat pengguna miskin untuk beraya

Barangkali kerajaan boleh juga menjadikan Mydin sebuah pasaraya atau gedung perniagaan yang terkenal dengan barangan murah sebagai konsultan mereka untuk menjaga kepentingan orang ramai.

Konsep mengurangkan harga dengan meningkatkan kuantiti jualan yang banyak diamalkan oleh pasaraya besar seperti juga saingan penerbangan seperti Air Asia menarik lebih ramai pengguna dengan jualan tiket murah.

Walaupun margin keuntungan kecil yang diperolehi daripada harga barang tetapi keuntungan tetap tinggi berdasarkan peningkatan kuantiti jualan atau pertambahan jumlah pengguna.

Berdasarkan kepada kaedah tersebut kenapa perlu kerajaan membenarkan pengusaha bas menaikkan surcaj 30 peratus keatas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri depan?

Tidakkah kerajaan sedar peningkatan berkali ganda pengguna pengangkutan bas setiap kali menjelang raya dan lepas raya? Peningkatan mendadak tersebut sudah tentu menguntungkan pengusaha bas malah ia dikira bonus kerana ia turut sama meningkatkan pendapatan syarikat bas.

Bas merupakan pengangkutan awam paling murah. Orang miskin menjadi pengguna utama kerana tidak berkemampuan membeli kenderaan peribadi.

Golongan wanita juga merupakan pengguna utama pengangkutan awam tersebut kerana tidak ada keberanian membawa kereta atau motorsikal.

Begitu juga dengan remaja yang belum berkemampuan memiliki kenderaan peribadi menjadikan bas keutamaan pengangkutan mereka.

ersoalannya kenapa kerajaan merestui syarikat bas memasang jerat kepada pengguna pengangkutan awam? Apakah kerajaan dan penguasaha bas sepakat mengambil kesempatan diatas keadaan terdesak pengguna bas?

Kerajaan melakukan kesilapan besar menaikkan harga minyak sehingga 40.6 peratus petrol dan diesel sebanyak 63.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan inflasi meningkat 8 peratus pada Julai lalu dan kebobrokan ekonomi yang sukar untuk dipulih.

Kesan kenaikan harga minyak menyebabkan kenaikan alat ganti dan kos penyelenggaraan kenderaan ikut turut naik.

Walaupun kerajaan menurunkan 15 sen seliter petrol dan 5 sen seliter diesel tetapi kemusnahan ekonomi yang telah parah tadi menyukarkan penurunan harga barangan berlaku.

Sebaliknya kesilapan kerajaan itu mahu diletakkan diatas bahu pengguna bas. Malah mereka seolah bersekongkol dengan pengusaha bas menjerut leher pengguna dalam masa orang ramai terdesak untuk pulang ke kampung menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga.

Tidak adakah cara lain bagi kerajaan mengatasi masalah tersebut? Kenapa harus pengguna menjadi mangsa yang kedua selepas menjadi mangsa pertama iaitu kesilapan kerajaan menaikkan harga minyak?

Kenapa kepentingan pengguna tidak diambil kira? Bagi tiket perseorangan ia tidak menjadi masalah tetapi fikirkan tentang pengguna miskin yang berkeluarga?

Sebagaimana perumpamaan yang telah diberikan oleh penulis blog, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar:

1. Tambang Ipoh ke Shah Alam = RM15.00

2. Surcaj 30% = 30% x RM15 = RM4.50

3. Jumlah =RM 19.50 (seorang)

Menurut beliau, katakan seorang itu mempunyai tiga orang dewasa dan dua orang kanak-kanak, berapakah surcaj yang perlu mereka tambah?

Sudah tentu tambang bas mereka melebihi harga minyak dan tol bagi sebuah kenderaan untuk ke destinasi yang sama.

Bagi tambang kanak-kanak pula, harga mungkin diberi separuh bagi syarikat besar seperti Tranasional tetapi syarikat bas lain tetap mengenakan harga dewasa bagi kanak-kanak.

Alasan yang diberikan ialah bas tambahan tetapi sebenarnya mereka mahu mengaut keuntungan dan kesempatan daripada pengguna dan keluarga yang terdesak mahu pulang ke kampung.

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata kadar surcaj, yang berkuatkuasa selama sebulan mulai 15 Sept ini, langkah sementara sebelum kementeriannya membuat keputusan kenaikan kadar tambang.

"Pelaksanaan surcaj ini adalah bagi membantu pengusaha bas ekspres mengurangkan kos operasi selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas serta keluhan daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Tindakan kerajaan itu cukup membebankan rakyat yang mahu pulang ke kampung bertemu sanak saudara pada hari raya akan datang.

Rakyat sering mendengar pakar motivasi keluarga meminta umat Islam pulang sebulan sekali atau kalau tidak berkemampuan mereka boleh pulang setahun sekali terutama hari raya untuk menjenguk ibu bapa dan saudara mara di kampung.

Dengan cara ini ia meningkatkan saliratulrahim sesama insan dan ikatan persaudaraan yang boleh memberi keharmonian kepada masyarakat, kampung, negeri dan negara.

"Ibu bapa bukan mengharapkan wang tetapi kerinduan untuk melihat anak-anak mereka," kata-kata yang sering diluahkan oleh para motivasi di media elektronik dan cetak.

Jika dikenang kata-kata pakar motivasi rupanya minyak naik boleh juga putus saudara. Hilang keharmonian sebaliknya bertambah tekanan.

Maka menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membetulkan keadaan tersebut.

Kementerian tersebut perlu ingatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi supaya jangan terlalu fikirkan keuntungan hingga lupa tanggungjawab sosial yang akhirnya membawa kemusnahan keluarga dan masyarakat.

Rakyat mahu pulang ke kampung untuk realisasikan apa yang diingini oleh kementerian pembangunan wanita, keluarga, tetapi kenapakah kementerian usahawan mengambil kesempatan?

Dalam blog yang lain penulisnya ada membuat komen berikut: "Jika pengusaha bas mengeluh, kami sebagai pengguna juga mengeluh dengan kenaikkan yang agak tinggi ini iaitu 30 peratus. Bukankah kerajaan telah menurunkan harga diesel? Bukankah harga diesel bagi pengusaha bas adalah jauh lebih murah?

Kami juga merasai keperitan hidup dengan kenaikkan pelbagai kos namun mengapa keluhan kami tidak diambil kira berbanding dengan keluhan pengusaha bas?

Ingin saya cadangkan, sekiranya kerajaan benar-benar prihatin terhadap kedua belah pihak iaitu pengguna dan pengusaha, adalah lebih baik jika kenaikkan tersebut hanya berkadar 15 peratus sahaja.

Seperti yang saya katakan, kita juga faham nasib si pengusaha bas tetapi siapakah yang faham akan nasib kami yang cukup terbeban ini."


Baca Selanjutnya...