1,000 hadiri Malam Himpunan Rakyat Anti-ISA


Kira-kira 1,000 orang menghadiri Malam Himpunan Rakyat Anti-ISA yang berlangsung di Stadium Melawati di Shah Alam malam ini.

Malam anjuran Gerakan Mansuhkan (ISA) itu - yang bertemakan 'Malaysia bebas dari ISA' - diadakan sebagai tanda sokongan padu kepada tahanan ISA serta kempen mansuhkan ISA.

Ia bermula kira-kira jam 9.30 malam, dengan ucapan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan diikuti dengan tayangan multimedia tentang tahanan ISA dan temuramah dengan isteri-isteri tahanan.

Para isteri tahanan ISA yang hadir pada malam ini, memakai tudung merah hati dan berjubah hitam.

Turut hadir ialah kira-kira 50 orang penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang membawa bendera warna oren bertulis HINDRAF.

Manakala pemidato pada malam ini ialah naib presiden PAS, Mohamad Sabu, naib presiden PKR, R Sivarasah yang juga ahli Parlimen Subang; ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim (PSM), Saari Sungip, penulis Lee Ban Chen dan penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran.

Sempena majlis pada malam ini, baju-T berwarna merah hitam bertulis 'MANSUHKAN ISA ZALIM' dilancarkan sebagai sebahagian daripada kempen memansuhkan ISA. Ia dijual pada harga RM20.

Turut dipromosikan pada malam ini ialah buku bertajuk 'Dunia tanpa suami' tulisan tiga isteri tahanan dan bekas tahanan ISA - Norlaila Othman, Roha Hashim dan Aliza Jaafar. Ia jual pada harga promosi RM10.

Ucapan para pemidato pada malam ini, diselang-selikan dengan deklamasi sajak oleh setiausaha politik menteri besar Kelantan, Anual Bakhri Haron yang bertajuk 'Surat Untuk Ayie, persembahan nasyid dan sebuah pentomin.

Syed Ibrahim juga mengisytiharkan bahawa pada hari Ahad, mulai esok, mereka akan memakai baju merah hitam sehingga ISA dimansuhkan.

Beliau turut meminta orang ramai memakai baju merah hitam dan disambut dengan tepukan gemuruh, tanda setuju, dari para hadirin.

0 comments: