KEMENANGAN besar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh telah memberikan dimensi baru politik Malaysia. Rakyat telah menghantar protes terbuka kepada Umno/BN dengan meningkatkan majoriti calon pembangkang dalam pilihan raya ini. Mesej cukup jelas, bahawa rakat sudah mual dengan pendekatan politik kotor, jijik dan penuh dengan penipuan oleh BN. Mereka mempermainkan tuduhan liwat, kemudian membuat sumpah-sumpah palsu di samping melakukan provokasi bagi mencetuskan ketegangan dalam pilihan raya.
“Pilihan raya paling ganas”, kata pemimpin BN. Memang pilihan raya ini telah menjadi ganas kerana anasir-anasir jahat yang dibawa oleh BN menyebabkan rakyat menjadi marah. Hakikatnya ia adalah pilihan raya yang paling kotor.
Apabila penamaan calon bermula, BN kononnya mengumumkan tidak akan menggunakan isu liwat ini sebagai bahan kempen pilihan raya. Tetapi di Permatang Pauh, CD yang berkaitan disebarkan kepada pengundi untuk memburukkan imej Anwar.
Media massa juga diperkudakan untuk saban hari menyiarkan cerita sumpah palsu Saiful Bakhtiar kononnya dia diliwat. Buat pertama kali juga, seorang Mufti yang suka membid’ah orang lain, terperangkap dalam perbuatan bid’ah apabila mencadangkan supaya Saiful bersumpah mubahalah. Mufti Wilayah Persekutuan pula bermati-matian mempertahankan sumpah laknat itu sah kerana telah menggunakan perkataan ”Wallahi, wabillahi dan watallahi”.
Saya tidak mempersoalkan apakah sah atau tidak sumpah ini kerana masih ramai ulamak yang lebih berhak memperkatakannya. Yang menjadi persoalan ialah Saiful sebagai orang membuat tuduhan sepatutnya disuruh oleh Mufti tersebut untuk membawa empat orang saksi ke mahkamah.
Bukankah itu sunnahnya! Apabila Saiful mengikut nasihat bid’ah Mufti tersebut ini, Majlis Fatwa terpaksa menegur tindakan bid'ah tersebut. Di Kuala Terengganu, Menteri di JPM, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan tentang sikap Majlis Fatwa dalam soal ini. Ini kerana, selepas Saiful, Datuk Seri Najib Razak pula tergoda dengan cadangan Mufti tersebut, diikuti oleh bekas Menteri Besar Perak. Dua sumpah ini berbeza dengan kes Saiful kerana Saiful membuat tuduhan liwat atau qazaf yang perlu dibawa empat orang saksi. Jika Majlis Fatwa tidak segera menegur, mungkin banyak lagi orang akan beratur di Masjid Wilayah Persekutuan untuk membuat sumpah serupa.
Mereka yang dituduh berzina di mahkamah akan mencari Tok Imam untuk membuat sumpah! Saya kesiankan Imam Ramlang Porigi yang menjadi mangsa dalam isu sumpah ini. Dengan tidak semena-mena beliau dikutuk dan dicerca oleh rakyat kerana ’bersubahat’ sedangkan beliau tidak tahu menahu.
Syukur beliau berani turun ke Permatang Pauh untuk menjelaskan hakikat sebenar. Rupanya, semua acara sumpah ini diatur oleh agen Najib, termasuk teks sumpah tersebut. Patutlah si Saiful tergagap-gagap dalam melafazkannya kerana mungkin dia juga ’dipaksa’ untuk bersumpah.
Saiful dan Najib mungkin tidak tahu akibat bersumpah dengan nama Allah seperti ini dan menganggap ia hanya perkara yang remeh sahaja. Tengku Razaliegh tentu masih ingat peristiwa sumpah pada 1969 kerana beliau satu-satunya yang masih hidup. Menjelang pilihan raya 1969 dahulu, Tunku Abdul Rahman menuduh PAS menerima bantuan wang asing untuk kempen pilihan raya.
Datuk Asri Muda menafikannya, kemudian melarat menjadi sumpah mubahalah. Di Alor Setar, Tunku Abdul Rahman bersumpah dengan disaksikan oleh Ustaz Abu Bakar Umar bagi pihak PAS, manakala di Kota Bharu, Datuk Asri bersumpah dengan disaksikan oleh Tengku Razaliegh bagi pihak Umno. Bukankah selepas pilihan raya ini, Umno bukan sahaja kalah teruk, bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri telah dijatuhkan, termasuk oleh Dr Mahathir! Politik Tunku Abdul Rahman berakhir selepas sumpah ini.
Najib dan Pak Lah patut mengambil iktibar daripada sumpah Tunku Abdul Rahman ini. Tidak ada guna kita melakukan sumpah yang palsu untuk kepentingan politik sempit yang segera. Akhirnya kita terjerat oleh sumpah sendiri. Najib berkali-kali bersumpah bahawa dia tidak kenal Altantuya, tetapi bapa Altantuya menyatakan sebaliknya. Saya tidak bermaksud mengatakan Najib berbohong, tetapi saya mengingatkan beliau tentang sumpahnya itu.
Kalau Allah membebankan beliau dengan kekalahan besar ini sahaja, mungkin masih upaya ditanggung oleh beliau. Saya bimbang dengan desakan Datuk Mukhriz Mahathir dalam perkara ini. Lagipun Perhimpunan Agung Umno hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Ketika rakyat mula bercakap tentang langkah Anwar seterusnya, ulasan Tun Dr Mahathir mendapat tumpuan penganalisis politik. “Bukan PKR atau Pakatan Rakyat yang menang, tetapi BN yang kalah”, kata bekas Perdana Menteri itu. Maksudnya cukup sinis untuk ditelan oleh Pak Lah dan Najib. Mesej Dr Mahathir lebih difahami oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Umno/BN sebenarnya sudah tidak relevan, sebab itu ditolak oleh rakyat. Rakyat memilih alternatif kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pak Lah dan Najib, itulah yang tergambar dalam fikiran saya apabila Dr Mahathir mengatakan BN yang kalah. Beliau cukup sedar BN sudah reput dan tidak boleh dipulihkan lagi. Kepemimpinan korup BN telah ditolak rakyat. “Letak jawatan”, kata Mukhriz mewakili pemikiran bapanya.
Apapun ulasan dan komen kita tentang pilihan raya ini, semua orang memperkatakan tentang kereputan BN dan mesej rakyat untuk mereka menghentikan budaya politik kotor dan jijik. Ketika Najib berkampung di Permatang Pauh, ketika media massa ’menggomol’ Anwar habis-habisan, ketika fitnah diwujudkan di sana-sini, ketika itulah pengundi Permatang Pauh bangkit menyuarakan rasa hati mereka mewakili perasaan seluruh rakyat untuk menolak BN. Jika pengundian ini dibuat oleh semua rakyat, saya percaya keputusannya sama juga – tolak BN. Rakyat tidak mempedulikan langsung penurunan harga petrol sebanyak 15 sen dan pendakwaan terhadap dua Exco Perak dalam isu rasuah. Rakyat tahu semuanya adalah gimik politik BN.
Sikap angkuh dan besar kepala pemimpin BN telah menimbulkan rasa mual rakyat kepada mereka. Rakyat tidak boleh menerima satu tindakan politik yang kotor seperti tuduhan liwat dan sumpah palsu. Adalah amat menjijikkan jika Umno/BN cuba menggantungkan nasib atau hayat politiknya di ’punggung’ Saiful. Sejambu mana pun Saiful, punggungnya tetap tidak patut menjadi talian hayat bagi pemimpin BN. Apabila pemimpin yang terkenal sehingga ke Mongolia pun masih berhajatkan punggung Saiful untuk menyambung hayat politiknya, maka hancurlah parti yang dipimpinnya.
Hari ini Najib cuba berlagak macho dengan mengucapkan tahniah kepada Anwar dan menerima keputusan rakyat. Najib juga menegaskan ia adalah keputusan secara demokrasi, walaupun rakyat sedar bahawa cara Umno/BN langsung tidak demokratik. Selepas mereka membawa Nallakarupan, Ezam dan Konsul Mongolia untuk berkempen menjahanamkan Anwar, terpaksalah Najib menebalkan mukanya untuk memperakui pilihan rakyat. Inilah hakikatnya bahawa rakyat memang tidak boleh menerima pendekatan politik seperti ini yang sudah tidak relevan dewasa ini.
Pak Lah dan Najib patut sedar tentang mesej yang dihantar oleh rakyat. Kerana politik punggung ini, kini BN sudah tersembam di pung**** Saiful! Selepas pilihan raya selesai, kini rakyat meninjau pula siapakah pemimpin Umno yag bakal dimakan sumpah. Mesyuarat Agung Umno Cawangan masih ada saki bakinya. Di sana pun bukan main banyak pergolakan dan percaturan sehingga saban malam pergaduhan, laporan polis dan BPR dibuat, juga laporan disiplin Umno.
Selepas puasa nanti, giliran Bahagian-bahagian Umno pula bercakaran. Yang pening kepala ialah hero sumpah, Najib Razak. Pak Lah juga masih berharap supaya usia politiknya sempat menjengah 2010. Kita tidak tahu siapa yang akan menerima padah daripada sumpah ini. Apakah Pak Lah dan Najib akan menerima nasib Tunku Abdul Rahman, atau Umno seluruhnya akan menerimanya. Wallahu a'lam. Tapi saya percaya jika sumpah yang palsu bersandarkan nama Allah dipermainkan, tunggulah saatnya!
Perhatian rakyat juga memang tidak lepas daripada melihat tindakan selanjutnya oleh Anwar. Rakyat mengharapkan beliau dapat memimpin pembangkang bagi menamatkan kekuasan politik korup dan zalim BN dalam tempoh yang segera. Di kalangan umat Islam, mereka berharap Anwar dapat melakukan sesuatu untuk mengangkat semula martabat Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Ilahi. Anwar tidak boleh terpesona dengan habuan dunia sehingga menjejaskan misi untuk memartabatkan Islam di negara ini. Jika Anwar terbabas di sini, tidak mustahil umat Islam akan berubah hati dan tidak lagi mengharapkan beliau melakukan sesuatu untuk kemuliaan Islam.
YB Tn Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat
The King, his family and U
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment