500 bantah forum memeluk Islam dan akhirnya dihentikan forum

Seramai 500 orang sedang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.

Pada masa yang sama kelihatan kira-kira 80 anggota polis ditempat di situ bagi mengawal orang ramai. Manakala kenderaan polis turut diletakkan di hadapan bangunan tersebut.

Ketika berucap kepada orang ramai, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Rani berkata, mereka membantah penganjuran forum tersebut kerana ia mencabar hak istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Sepatutnya, kata beliau, forum itu diadakan secara tertutup.

Katanya, ia kerana terbukti program anjuran Majlis Peguam sebelum ini, gagal menghalang peserta daripada mempertikaikan hak orang istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Mereka yang menyertai perhimpunan pagi ini adalah terdiri daripada wakil-wakil 29 badan NGO Islam.

Mereka melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', “Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Turut kelihatan ialah pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub. Manakala pemimpin PKR yang kelihatan di situ ialah dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Badrul Amin Baharum dan Latheefa Koya.

Difahamkan, forum tersebut sedang berlangsung di dalam bangunan dan telah dirasmikan oleh Presiden Majlis Peguam.

Antara ahli panel forum tersebut ialah Pengarah Pusat Undang-undang Syariah dan Sains Politik, Institut Kefahamam Islam, Dr Wan Azhar Wan Ahmad dan peguam Syarie, Mohd Haniff Khatri Abdullah.

Mohd Haniff mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam kes R Subashini. Yang lainnya ialah peguam K Shanmuga dan Ravi Nekoo, yang masing-masing mewakili Subashini dan S Shamala.

Bagaimanapun, seorang ahli panel - bekas hakim Syariah dan kini menjadi pegawai pendakwaraya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan - telah menarik diri.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut berucap di perhimpunan bantahan tersebut.

"Kita dicabar di bawah Seksyen 121 (A). Mereka tahu undang-undang, tetapi mahu mencabar agama Islam.

"Kalau mereka hendak tahu (tentang) Islam, mereka boleh jumpa pegawai Jakim," katanya.

Manakala Badrul Amin berkata: "Jika orang tidak ganggu agama orang lain, kita akan akan hidup aman.

"Kita tidak ganggu agama Kristian, agama Hindu dan Buddha dan kita meminta jangan menghasut rakyat dengan isu agama," tambahnya.

Sehingga jam 9.30 pagi ini, jumlah orang ramai yang datang menyertai perhimpunan bantahan tersebut telah bertambah kepada 500 orang.

Kira-kira jam 9.31 pagi, wakil NGO terbabit sedang berunding dengan Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman.

Sebelum itu, seorang peserta mengatakan, jika forum tersebut tidak dihentikan, mereka akan merempuh masuk untuk menghentikan.

Kira-kira jam 9.35 tadi, seorang peserta memberitahu melalui pembesar suara bahawa mereka memberi masa sehingga jam 9.45 pagi supaya forum tersebut dihentikan.

Jika tidak, katanya, mereka akan masuk meminta peserta forum itu menghentikannya pada jam 10 pagi.

Rundingan dengan ACP Dzulkarnian tadi disertai oleh tiga wakil NGO dan Salahuddin Ayub.

Majlis Peguam hentikan forum...

Forum awam memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pagi ini akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin memberitahu perhimpunan tersebut, bahawa beliau telah masuk ke dalam dan mendapati forum itu telah dibubarkan.

"Saya naik sendiri dan melihat forum telah dibubarkan dan saya memberitahu (mereka), tidak mahu lagi forum seperti ini diadakan.

"Kita mahu tindakan yang lebih keras diambil pada masa-masa depan," katanya kepada perhimpunan tersebut pada kira-kira jam 10.30 pagi.

"Kita memberi jaminan mereka boleh beredar dari bangunan ini," kata beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Seramai 500 orang sedang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.

Mereka melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Tiada tangkapan
Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman, memberitahu sidang akhbar bahawa beliau telah berunding dengan Majlis Peguam supaya menghentikan forum tersebut.

"Semasa rundingan, mereka boleh menerima cadangan kita.

"Polis mempunyai kuasa untuk menasihatkan mereka menghentikan forum ini setelah melihat ancaman keselamatan yang kian meningkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat satu botol yang dijumpai di situ.

"Saya berpuashati kerana mereka bersikap profesional. Semasa rundingan, saya menasihatkan supaya forum ini dibatalkan.

"Insya-Allah keadaan akan kembali pulih semula," tambahnya.

Menurutnya lagi, tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kedua-dua pihak telah memberi kerjasama kepada pasukan polis.

Pada jam 10.55 pagi, orang ramai sudah beredar dari kawasan tersebut.

0 comments: