KEHILANGAN SYABU SEBAGAI BAHAN BUKTI KES ADALAH SESUATU YANG MEMALUKAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa terkejut dan bimbang dengan berita kehilangan barang bukti iaitu dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.1 juta dari bilik simpanan barang bukti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor seperti mana yang telah didedahkan oleh tiga akhbar Media Prima - New Straits Times, Harian Metro dan Berita Harian semalam.

Mengikut maklumat yang disiarkan melalui Harian Metro semalam melaporkan sebahagian dadah rampasan jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.1 juta yang menjadi bahan bukti bagi kes rampasan dadah terbesar RM48 juta Mac lalu, hilang dari bilik kebal IPK negeri, minggu lalu. Mengikut laporan ini juga bilik yang menempatkan barang bukti itu diceroboh masuk berdasarkan penggunaan asid untuk membuka mangga kunci yang disedari seorang anggota polis yang bertugas, Khamis lalu. Mengikut berita yang disiarkan, satu laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk mengenalpasti siapa yang terbabit di dalam kes yang memalukan ini.

Difahamkan, dua pegawai polis telah ditahan setakat ini di mana salah seorangnya ditahan setelah gagal dalam ujian air kencing setelah kira-kira 60 pegawai dan anggota yang ditugaskan menjaga bilik berkenaan selesai menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai kaitan dengan kehilangan dadah berkenaan.

DPPNJ melihat bahawa pendedahan kes ini sudah pasti membimbangkan semua pihak kerana ia memperlihatkan bagaimana lemahnya tahap keselamatan dan kewaspadaan di dalam PDRM sendiri. Ini adalah kerana, ia bukanlah satu perkara baru di dalam negara ini yang kes kehilangan bahan bukti di bawah jagaan polis kerana sebelum ini negara telah digemparkan oleh kejadian yang sama sebelum daripada ini.

Sebagai contohnya, pada Mei 2006, sebanyak 1,168 pil kuda, 7.5 gram heroin dan 400 mililiter ubat batuk merangkumi sembilan kes turut dilaporkan hilang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan manakala pada Mei 2005, lebih 60,000 pil psikotropik (khayal) yang menjadi bahan bukti perbicaraan kes pengedaran dadah membabitkan seorang warga emas, dilaporkan hilang daripada simpanan polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.

Sama ada kes kehilangan bahan bukti ini disebabkan oleh pegawai polis sendiri ataupun orang awam tetapi yang pentingnya ia telah menjejaskan nama baik polis yang sepatutnya mengambil pengajaran daripada kes kehilangan bahan bukti di dalam jagaan polis sebelum ini.

DPPNJ juga percaya bahawa terdapat usaha yang dilakukan untuk menutup kes ini daripada pengetahuan umum apabila pihak PDRM telah menghantar notis kepada wartawan kumpulan akhbar NSTP yang menulis kes berkenaan di pejabat NSTP, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

DPPNJ yakin bahawa wartawan yang terlibat mendedahkan perkara ini tidak berniat untuk memburukkan reputasi PDRM tetapi ia adalah merupakan satu pendedahan untuk menyedarkan masyarakat bahawa tahap keselamatan di dalam negara ini semakin rendah sehinggakan bahan bukti di bawah jagaan polis juga tidak berada di dalam keadaan yang selamat.

DPPNJ sekali lagi melahirkan rasa kekesalan dengan perkara ini dan mendesak agar penyiasatan penuh mesti dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM yang semakin hari semakin tercemar dan tercalar.

Tindakan tegas perlu diambil dengan segera dan pegawai polis yang terlibat mestilah dikenakan tindakan yang maksimum di atas kecuaian dan pecah amanah yang telah dibuat. DPPNJ juga mendesak agar laporan hasil siasatan ini akan dimaklumkan kepada umum agar salah tanggapan rakyat terhadap PDRM dapat diperbetulkan. Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/"


0 comments: