Kronologi peristiwa tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim


KES dakwaan liwat terhadap Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim bermula apabila bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Sejak itu ia mendapat perhatian umum dan liputan meluas pihak media sehinggalah Anwar akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam (7 Ogos 2008).

Berikut urutan peristiwa yang dicatat wartawan mStar mengenai kes berkenaan:

28 Jun : Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Anwar Ibrahim kerana mendakwa telah diliwat oleh Penasihat PKR itu.

29 Jun : Anwar menerima perlindungan sementara di Kedutaan Turki.

30 Jun : Anwar keluar dari Kedutaan Turki.

1 Julai : Anwar membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.

2 Julai : Saiful muncul untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Brickfileds.

8 Julai : Anwar membuat satu laporan menuntut tindakan undang-undang syariah diambil di bawah peruntukan qazaf terhadap Mohd. Saiful yang mendakwa Anwar meliwatnya.

15 Julai : Anwar menyertai program debat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bertajuk “Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak”

16 Julai
:
10.05 pagi : Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung laporannya terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara 1 Julai lalu.

1 tengah hari : Anwar ditahan polis berdekatan dengan rumahnya di Bukit Segambut dan ditahan di IPK Kuala Lumpur.

8.35 malam : Anwar dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani ujian DNA, bagaimanapun beliau enggan memberikan sampel DNAnya. Beliau ditahan semalaman di lokap IPK KL.

17 Julai : Anwar dibebaskan dengan jaminan polis

21 Julai : Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung laporan polis yang mendakwa beliau dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta mengenai serangan fizikal yang dialami Anwar semasa menjadi tahanan polis pada tahun 1998.

21 Julai : Anwar hadir semula di BPR untuk memberi keterangan dan menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

30 Julai : Anwar hadir di JAWI untuK memberi keterangan berhubung laporannya sebelum ini yang meminta jabatan itu menyiasat Mohd. Saiful mengikut hukum qazaf.

30 Julai : Hospital Pusrawi menafikan terdapat seorang doktor pakarnya telah menjalankan pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun lalu.

31 Julai : Datuk Ser Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

31 Julai : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu, siasatan kes liwat terhadap Anwar sudah selesai dan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

6 Ogos : Anwar menerima sapina meminta beliau hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk menghadapi tuduhan meliwat.

7 Ogos: Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan hubungan seks luar tabii (meliwat) Mohd Sauful Bukhari. Anwar kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.


0 comments: