Tindakan tiga calon pro-Mahasiswa menarik diri pada saat-saat akhir untuk penamaan calon bagi pilihanrya kampus Universiti Malaya (UM) di Pusat Sukan dan Fakulti Kejuruteraan, telah menimbulkan tandatanya.
Seorang menarik malam tadi, seorang lagi menarik diri jam 2 pagi tadi manakala seorang lagi menarik diri kelmarin.
Dan tindakan mereka itu membolehkan calon pro-Aspirasi menang tanpa bertanding di dua kerusi Pusat Sukan.
Tetapi bagi kerusi di Fakulti Kejuruteraan, calon pro-Aspirasi masih perlu berdepan dengan dua lagi calon, termasuk seorang calon bebas.
Ketua pengurus calon pro-Mahasiswa, Faisal Mustafa berkata, dua calon berkenaan memaklumkan perkara itu kepada pihaknya termasuk melalui panggilan telefon dan SMS.
Beliau berkata, dua calon berkenaan - seorang dari Pusat Sukan dan seorang lagi Fakulti Kejuruteraan - tidak memberi penjelasan mengenai tindakan drastik mereka itu.
Manakala yang seorang lagi - dari Pusat Sukan - memaklumkan bahawa mempunyai komitmen lain kerana perlu memberi tumpuan sebagai wakil Malaysia dalam sukan bolasepak.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan indentiti calon terbabit untuk mengelakkan kedua-duanya mendapat malu.
Bagaimanapun, berdasarkan keputusan tidak rasmi, pro-Mahasiswa turut memenangi dua kerusi dalam pilihanraya kampus itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Faisal berkata, tindakan mereka menarik diri pada saat akhir menyebabkan kumpulan pro-Mahasiswa sukar mencari calon ganti.
Ditanya sama ada kedua-dua calon itu 'telah dibeli', Faisal berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya.
Pro-Aspirasi kekal penguasaan di UTM
Jimadie Shah Othman | Jan 14, 09 3:30pm
Seperti yang dijangkakan, kumpulan pro-Aspirasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya kampus semalam apabila memenangi 35 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.
Bagaimanapun, prestasi kumpulan itu - kini dikenali sebagai Evolusi Mahasiswa - tercalar sedikit apabila musuh tradisi mereka, pro-Mahasiswa berjaya menambah bilangan kerusi, dari lapan kepada 10 kerusi.
Tahun lalu, pro-Mahasiswa meletakkan 15 calon sahaja. Tahun ini, kumpulan itu menambah sebelas lagi calon, menjadikan kesemuanya 26 calon bagi bertanding kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti berkenaan. Evolusi Mahasiswa bertanding di semua kerusi.
Exco perhubungan luar pro-Mahasiswa, Lee Long Hui memberitahu Malaysiakini, keputusan pilihanraya kampus itu diumumkan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan apabila proses pengiraan undi tamat kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Menurutnya, proses pengiraan itu bermula 30 minit selepas tempoh pengundian tamat pada jam 5 petang di dua tempat.
Pengiraan kerusi umum dijalankan di Dewan Sultan Iskandar manakala kerusi fakulti pula dikira di semua fakulti tempat pengundian dijalankan.
Ketika diminta mengulas keputusan pilihanraya kampus itu, Lee berkata, pihaknya berpuas hati kerana "keputusan itu memang telah dijangkakan".
'Kempen sama bagus'
Lee bagaimanapun menafikan bahawa calon mereka kurang berkualiti, sebaliknya "kurang kuantiti".
Katanya, berdasarkan keputusan dan penyertaan calon - walaupun kalah pro-Mahasiswa kalah - namun ada peningkatan berbanding tahun lalu.
Keputusan juga didakwa tidak dipengaruhi kempen kerana kempen "kedua-dua pihak sama bagus".
Minggu lalu, Evolusi Mahasiswa di UTM memenangi enam kerusi tanpa bertanding selepas selesai proses pencalonan bagi pilihanraya kampus di universiti tersebut di Skudai, Johor.
Ini ekoran kegagalan kumpulan Pro-Mahasiswa - yang dianggap sebagai anti-establishment - mengemukakan calon mereka bertanding di kerusi terbabit.
UTM mengadakan pilihanraya kampusnya semalam - dengan tempoh berkempen ditetapkan selama lima hari, mulai 8 Januari lalu.
Seramai 85 calon bertanding merebut 45 kerusi - iaitu 30 kerusi fakulti, 10 kerusi umum serta lima lagi kerusi di kampus Kuala Lumpur.
Pelajar UM buat laporan polis
Abdul Rahim Sabri | Jan 14, 09 11:53am
Seorang pelajar pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah membuat aduan polis, mendakwa dia cuba disogok supaya bertanding bagi pihak universiti dalam pilihanraya kampus 19 Januari depan.
Mahasiswi berkenaan - Shah Rizul Ayuni Zulkiply - membuat laporan tersebut di balai polis Pantai, Kuala Lumpur petang semalam.
Dia membuat laporan itu selepas menerima sepucuk surat yang menawarkan dia bertanding kerusi umum bagi pihak universiti berkenaan.
Shah Rizul juga mendakwa terdapat wang tunai RM100 diserta bersama surat bertarikh 9 Januari lalu.
Surat ini didakwa mempunyai tandatangan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof Madya, Dr Arzrae Idris.
Dalam laporan polisnya, Shah Rizul mendakwa surat tersebut dihantar melalui Pejabat Kolej Kediaman Keempat - tempat dia menginap.
Surat tersebut, yang disertakan bersama dalam laporan itu menyebut, semua keperluannya, termasuk makanan, penginapan, dan keselamatannya dijamin.
Sehubungan itu, Shah Rizul diminta hadir ke pejabat Hal Ehwal Pelajar sebelum 13 Januari 2008 (semalam) bagi tujuan itu.
Dalam laporan polis itu, Shah Rizul berkata, dia hanya menyedari kewujudan surat itu semalam
Shah Rizul mendakwa pemberian wang itu "memalukan dirinya" dan "membuktikan bahawa terdapat pihak tertentu sanggup menggunakan wang untuk membeli mahasiswa bagi kepentingan sendiri."
Hari penamaan calon pilihanraya kampus UM yang berlangsung hari ini dipanaskan dengan perang mulut kedua-dua yang pihak bertanding.
Penamaan calon di UM panas...
Abdul Rahim Sabri | Jan 14, 09 11:05am
Hari penamaan calon pilihanraya kampus Universiti Malaya (UM) yang berlangsung hari ini dipanaskan dengan perang mulut kedua-dua pihak yang bertanding.
Menariknya, sahut-menyahut antara kumpulan pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi - kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa - seolah-olah mewujudkan sebuah irama.
Kira-kira 150 penyokong pro-Mahasiswa yang berpakaian oren melaungkan slogan "hidup mahasiswa", "bantah rasuah", "Gerak rasuah", "bongkar rasuah", "hope and change" dan "yes, we can can".
Sementara itu, kumpulan Penggerak Mahasiswa yang berpakaian hitam menjawab dengan slogan "fitnah, fitnah, cakap lebih buat tak ada", "hapus fitnah", dan "hancur politik luar".
Mereka diasingkan kira-kira tujuh meter di antara bangunan Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Kompleks Perdana Siswa.
Penyokong kedua-dua kumpulan bertanding - sebahagian besarnya mahasiswi - sebelum itu berkumpul di dua tempat berasingan kira-kira 200 meter daripada tempat penamaan calon di kompleks berkenaan.
Sejak jam 8.30 pagi tadi, kumpulan pro-Mahasiswa berkumpul di padang fakulti kejuruteraan bertentangan dengan tasik Varsiti.
Mereka bergerak bergerak bersama calon ke tempat penamaan calon dan tiba kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
Sementara itu, kumpulan Penggerak Mahasiswa berkumpul di tempat letak kenderaan di belakang Jabatan Kimia, Fakulti Kejuruteraan. Mereka bergerak dan sampai lebih awal ke tempat tersebut.
Calon-calon mereka sebaliknya tidak turut sampai dan hanya kelihatan memasuki bangunan tempat penamaan calon kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Apabila kesemua calon bertanding kedua-dua belah pihak masuk untuk mendaftar sebagai calon, penyokong masing-masing berhenti bersorak.
Pro-Mahasiswa kali ini menggunakan tema "Hope and Change" manakala Penggerak Mahasiswa mengekalkan temo tradisi mereka "UM is One".
Pro-Mahasiswa pertikai pembatalan kemenangan calonnya
Abdul Rahim Sabri | Jan 14, 09 10:59am
Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang pro-Mahasiswa mempertikaikan keputusan urusetia pilihanraya kampus membatalkan kemenangan calonnya di Fakulti Kejuruteraan setelah mengumumkan kemenangannya tanpa bertanding Khamis lalu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, pengerusi gabungan itu, Ahmad Farhan Yusoff menjelaskan, kertas pencalonan calon pro-Mahasiswa, Norleana Usak, diterima pada hari penamaan calon Khamis lalu.
Memandangkan tiada calon pro-Aspirasi yang mencabar Nurleana, maka pihak urusetia mengumumkan beliau menang tapi bertanding.
Bagaimanapun, setengah jam kemudiannya, pihak urusetia membatalkan kemenangan Norleana dan mengarahkan kerusi fakulti tersebut dikosongkan.
Ahmad Fuad berkata, Nurleana kemudiannya dipanggil ke Fakulti Kejuruteraan dan dimaklumkan bahawa kemenangannya dibatalkan kerana tempoh baki pengajiannya tidak mencukupi tempoh sesi pilihanraya kampus kali ini.
Norleana adalah pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan dan dijangka tamat pengajiannya April depan.
"Persoalannya, kalau tak layak, kenapa kertas pencalonannya diterima. Kenapa tolak selepas buat pengumuman (kemenangan calon)," tanya Ahmad Farhan Yusoff.
Calon lain dibenar tanding
Bagaimanapun, Ahmad Farhan mendakwa terdapat lima calon Umum daripada pro-Aspirasi yang juga penuntut tahun akhir, dibenarkan untuk bertanding.
Katanya, empat daripada mereka adalah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan seorang dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Lima fakulti menawar kursus tiga tahun pengajian, iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.
Manakala Fakulti Kejuruteraan menawarkan kursus pengajiannya selama empat tahun, tambah Ahmad Farhan.
"Calon tahun akhir dari lima fakulti berkenaan dibenarkan bertanding, (tetapi calon) fakulti kejuteraan dan alam bina, dia tak bagi. Sedangkan tak ada calon lain," kata Ahmad Farhan.
Menurut Ahmad Farhan, yang juga pelajar tahun empat di Fakulti Pendidikan, calon pro-Aspirasi juga tidak meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi di fakulti kejuruteraan.
Kemuka rayuan
Pengerusi GMUKM itu juga menjelaskan Norleana boleh menjalankan tugas sebagai wakil pelajar sehingga majlis konvokesyen pada bulan Ogos ini walaupun sudah tamat pengajiannya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kumpulan pro-Mahasiswa di UKM menang tanpa bertanding di empat kerusi - tiga kerusi kerana tiada calon pro-Aspirasi dan satu lagi kerana kertas pencalonan calon pro-Aspirasi ditolak.
Sebanyak 11 kerusi umum dan 23 kerusi fakulti dipertandingkan dalam pilihanraya kampus UKM Khamis ini.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Norleana Usak menjelaskan dia telah mengemukakan rayuan kepada Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr Sharipah Habsah Syed Shahabuddin berhubung isu tersebut.
Norleana berkata, dia telah hantar rayuan tersebut Isnin lalu dan sedang menunggu keputusan rayuannya itu.
Mengenai pembatalan kemenangannya itu, Norleana berkata dia berasa terkilan dengan keputusan yang dibuat oleh urusetia pemilihan itu.
The King, his family and U
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment