Terengganu hari ini(17/1/09) menjadi medan mengukur kemampuan fenomena Mac 2008 beralih ke Terengganu. Lebih 80,000 pengundi bakal merumuskan hala tuju politik negara seterusnya. Impak pilihan raya kecil ini cukup besar dan boleh merubah senario politik masa depan negara. Justeru, pengundi harus menggunakan kesempatan berharga ini dengan matang dan bijaksana.
"Kita di Terengganu sekarang mahu mengundi mesti ingat kerana Allah. Hendak jadi wakil rakyat boleh tetapi kena ingat kerana Allah. Keyakinan kita ialah sebagai hamba Allah dan bukan hamba duit dan sebagainya."
Bagi memandu pengundi membuat pilihan terbaik, ikuti pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika ditemui di pejabat Menteri Besar Kelantan, di Kota Darulnaim, Ahad, 11 Januari lalu.
HARAKAH: Umno kini bermati-matian mahu mempertahankan penguasaannya di Kuala Terengganu. Kempen pilihan raya pun semakin hangat dan mendebarkan. Bagaimana Tok Guru melihatnya?
TOK GURU NIK ABDUL AZIZ: Sekarang berlaku pertelagahan antara gerakan Islam yang dipimpin oleh PAS dan gerakan nasionalis yang dipimpin oleh Umno untuk berebut hendak jaga negeri. Kalau lebih 50 tahun dulu, antara Inggeris dan Jepun berebut juga, hendak jaga Tanah Melayu.
Dan kira-kira hampir 2,000 tahun lalu perbalahan berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal. Juga sama-sama berebut hendak jaga negeri. Hak mana yang betul kerana orang Islam ini bukan semata-mata hendak makan atau minum. Islam mengajar makan minum yang betul. Berumah tangga yang betul atau politik yang betul. Betul itu kena dengan kehendak Allah Taala. Ini beza ajaran Islam dengan ajaran manusia sama ada kita Melayu atau Cina Muslim itu tidak kiralah. Ajaran Islam tidak serupa dengan ajaran yang manusia buat. Manusia reti apa di hujung dunia ada syurga neraka yang tahu benda itu ialah tukang yang membuat dunia iaitu Allah Taala. Allah Taala ajar benda ini kepada nabi-nabi sejak zaman-zaman sehingga sampai kepada Nabi Muhammad saw.
Ada ayat al Quran menyebut selepas mati kita akan dihidupkan balik. Selepas mati kita tidak perlu lagi sembahyang, puasa, mengundi atau apa sahaja sudah tidak ada lagi. Yang ada kamu dipaksa balik ke pangkuan Allah Taala. Ini masalah yang berlaku sejak dahulu kepada nabi-nabi dengan umat masing-masing. Begitu juga pada masa Nabi Muhammad s.a.w. dengan umatnya termasuk kita. Ini benda yang PAS hendak sebut. Ini juga yang kita sering sebut dalam sembahyang. Sembahyang, hajiku, hidup mati untuk-Mu Allah Taala. Untuk-Mu itu hendak pergi macam mana kalau bukan melalui Islam.
Kalau benda itu kita boleh buat tanpa melalui Islam, apa faedah Allah Taala kirim nabi-nabi. Apa tujuan kirim nabi sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Jadi kalau kita tolak Islam seperti yang diamalkan Umno sekarang dan mengambil kebangsaan, soalnya agama Islam itu berhenti setakat mana. Adakah Islam tidak berguna sekarang kerana tempoh dah habis atau macam mana? Mengapa kita tolak agama dan ambil kebangsaan. Adakah Umno fikir Islam tamat setakat 1946 ketika Umno mulai wujud atau Islam terus sampai khiamat. Orang Islam di seluruh dunia akui Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi akhir zaman.
Ini punca PAS dan Umno bertelagah. Apa salah kalau Umno tinggalkan kebangsaan. Islam itu terkandung di dalam al-Quran, dan di dalam terkandung semua termasuk politik, ibadat dan keselamatan. Ini kerana al-Quran didatangkan daripada Allah Taala. Bezanya sekarang Umno hanya selamat setakat dunia dan nak pergi akhirat tidak boleh. Arab, Cina, India hendak pergi syurga semuanya melalui Islam. Ini perkara pokok.
Ini bererti risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan terhenti setakat tahun 1946 sahaja. Ini punca segala pertelagahan yang berlaku sekarang, dan sebab itu saya minta semua kawan-kawan dalam Umno bermula daripada peringkat 'grassroot' sehingga pemimpin atasan. Tidak ada guna satu sen pun perjuangan kebangsaan. Hendak pembangunan semua parti yang memerintah boleh buat pembangunan.
Kalau komunis memerintah di negeri ini sekalipun mereka juga mampu buat pembangunan. Sekadar pembangunan lahiriah ini semua orang boleh buat. Tidak payahlah Allah Taala kirim nabi kalau sekadar kehidupan manusia mahu kepada pembangunan. Kafir Quraisy, Rom dan Parsi buat pemnbangunan sampai sekarang pun kita dapat lihat kesannya. Di Mesir ada piramid dan macam-macam lagi. Apa yang penting pemnbangunan tidak boleh sampai ke akhirat.
Masuk kubur kita hanya bawa jari 10 sedangkan kita mempunyai banyak duit di dunia. Kita ada tenaga di atas dunia mengapa tidak boleh bawa bersama di dalam kubur. Islam sahaja �cable� yang boleh membawa kita dari dunia sampai ke akhirat. Kepandaian, kebijaksaan dan harta kita semuanya itu boleh kita tukar melalui pertukaran benda kepada pahala. Ini perkara besar yang menguasai pemikiran manusia sekarang sama yang menyokong atau melawan gerakan Islam.
Oleh itu saya minta kalau sesiapa sahaja yang hendak pembangunan ia tidak boleh membawa kita ke akhirat tanpa melalui Islam. Kami jaga Melayu sampai ke akhirat tetapi Umno jaga Melayu setakat dunia sahaja. Islam ini kalau buat tanpa ikhlas tidak jadi, tidak kiralah orang PAS sendiri pun. Sembahyang, kempen tidak ikhlas tidak jadi. Kita mahu Islam dan iman.
Apa langkah terakhir calon dan petugas PAS lakukan menjelang hari mengundi Sabtu ini?
Langkah awal akhir ini tidak ada dalam Islam, kerana ia awal dan akhir selama-lamanya. Hidup kita di atas dunia ini bertengkar dengan nafsu. Dalam tubuh kita ada nafsu. Amarah, lawamah, mutmainah. Kita kena yakin kerja mengundi ini sebagai kerja agama. Ini kerana kerja memerintah negeri ini ialah kerja Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. di Makkah tidak boleh memerintah sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah. Kita di Terengganu sekarang mahu mengundi mesti ingat kerana Allah Taala. Hendak jadi wakil rakyat boleh tetapi kena ingat kerana Allah Taala. Keyakinan kita ialah sebagai hamba Allah Taala dan bukan hamba duit dan sebagainya.
Kita perlu solat hajat?
Solat hajat kita perlu buat setiap masa. Tidak boleh bermusim, satu budaya orang kita bermusim ketika sakit, anak hendak periksa, hendak mengundi. Tapi tak apalah kalau tidak ada langsung baik kita buat.
Bagaimana situasi yang Tok Guru tengok terhadap kecederungan politik rakyat di Kuala Terengganu sekarang?
Pada hari penamaan calon saya pergi ke sama. Saya tengok kalau di tepi-tepi jalan nampaknya petugas PAS lebih rancak. Kegiatan Umno tidak nampak sangat. Cuma di sesetengah tempat mereka ghairah dengan poster. Hari itu tidak nampak sangat kegiatan Umno, jadi kita harap perkara itu biarlah berterusan.
Sejauh mana Tok Guru mengenali Mohd Abdul Wahid Endut sebagai seorang pemimpin yang patut dipilih?
Kita mengenalinya kerana beliau sudah lama menjadi wakil rakyat. Sejak 1990 lagi menjadi wakil rakyat. Lagi pun tidak kedengaran sungutan rakyat terhadapnya. Harap begitulah. Kalau tidak masakan ia menjadi pilihan kepada Presiden yang juga orang Terengganu.
Kegelisahan pihak lawan nampak sangat sehingga terpaksa mengerahkan begitu ramai anggota keselamatan. Ia mungkin pertama kali berlaku dalam sejarah pilihan raya kecil. Mungkinkah ada sesuatu di sebalik nama keselamatan yang Tok Guru lihat?
Kalau hendak datang begitu ramai bagi menjaga keselamatan, itu tidak menjadi masalah. Kalau Umno mahu memperalatkan polis dalam pilihan raya kecil ini bermakna berlaku celaka besarlah dalam demokrasi. Kedudukan Terengganu di tengah-tengah laluan ke Kuala Lumpur, jadi orang dapat tengoklah keadaan sebenar yang berlaku. Bagaimanapun harap-harap Pengerusi SPR baru, yang sebelum ini banyak tercalit dengan perkara-perkara yang mencurigakan, dapat ambil berat hal ini. Peristiwa Batu Burok dahulu sangat-sangat menyedihkan.
Sambutan penduduk Cina kepada calon PAS pun semakin meningkat. Kalau sebelum ini mereka sukar didekati namun sekarang tidak lagi. Adakah ini suatu petanda yang cukup menarik?
Ini sutu perkembangan yang cukup menarik sekali. Memanglah benda baik biar pun ditekan lama-lamaan akan menyerlah juga. Macam bola yang ditekan ke dalam air, lama-lama air akan melantun juga ke atas. Begitu juga dengan kebenaran kita boleh tekan namun lama-kelamaan ia akan naik balik.
Sebelum ini media massa sebut PAS antipembangunan, antikemajuan tetapi Cina di Kelantan tengok setiap hari berlaku pembangunan di negeri ini. Saya sebagai ketua kerajaan yang bergelar ulama boleh datang ke tempat masyarakat orang bukan Islam tanpa sebarang masalah. Saya pergi ke wat Siam di Tumpat. Semasa pemimpin Cina, Foo Chong Yong meninggal dunia. saya juga pergi melawatnya. Akhirnya orang Cina faham mereka diperbodohkan dengan pembohongan. Masa orang Cina buat kenduri kahwin pun saya pergi. Setiap kali orang bukan Islam menjemput saya pergi ke majlis mereka, saya tanya sama ada jemputan itu bagi tujuan agama atau budaya. kalau hanya sekadar budaya saya pergi. Tujuan agama tidak boleh. Setiap kaum ada budayanya sendiri.
Apa yang menarik juga di Terengganu ramai pemimpin utama Pakatan Rakyat datang membantu calon PAS. Adakah ini suatu perkembangan yang baik?
Ya, ini suatu yang cukup menarik sekali. DAP sekarang semakin jelas nampak dan ia lain dengan DAP zaman dahulu. Macam juga orang PAS zaman dahulu, kalau sebut Umno mereka tidak mahu dekati. Sekarang mereka sudah faham. Hendak lari macam mana kerana mereka juga saudara kita. takkan kita hendak biarkan mereka dengan salah begitu. Kalau mereka salah, kita kena perbetulkan.
Hudud yang cuba dicetus media bagi menjarakkan hubungan PAS dengan DAP nampaknya juga gagal?
Makin mereka mainkan isu tersebut tambah bodoh mereka. Ini kerana hudud itu untuk orang Islam. Jadi pemimpin Umno ini, mereka Islam atau tidak? Kalau mereka Islam mengapa tidak mahu hudud.
The King and U
3 days ago
0 comments:
Post a Comment