Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan dengan ikatjamin pagi ini.
Beliau dilihat keluar bersama anggota keluarga dan peguamnya dengan kereta pada jam 9.45 pagi.
Beliau balik ke rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur dan dijangka mengadakan sidang akhbar pada jam 2 petang.
Anwar tidak menghadapi sebarang dakwaan tetapi diminta datang semula ke balai polis pada 18 Ogos depan.
Awal pagi ini, peguam Sankara Nair memberitahu pemberita di luar ibupejabat polis Kuala Lumpur, tempat Anwar ditahan semalaman, bahawa mantan timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan jam 1 petang.
Menurutnya, Anwar mengadu sakit belakang selepas tidur di atas lantai simen malam tadi.
Pada jam 9.30 pagi isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anak-anaknya dan masuk ke dalam bangunan IPK Kuala Lumpur. Mereka beredar bersama Anwar 15 minit kemudiannya.
Anwar sedang berihat di rumahnya manakala para petugas media, termasuk media asing, sedang menunggu di luar.
Pada kira-kira jam 10.45 pagi, Wan Azizah dan anak sulungnya, Nurul Izzah keluar dari rumah tersebut.
"Suami saya dalam kesakitan," kata presiden PKR itu sebelum beredar keluar.
Sampel DNA
Sementara itu, Sankara berkata, Anwar tidak membenarkan Hospital Kuala Lumpur mengambil sampel DNA beliau kerana beliau khuatir ia akan dimanipulasi oleh pihak berkuasa.
Katanya, mereka bimbang DNA akan dimanipulasi kerana pasukan penyiasat dalam kes liwat membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 juga terlibat dalam siasatan kali ini.
"Lagipun DNA (Anwar) telah diambil masa kes dahulu (1998), kenapa perlu ambil lagi," kata Nair dalam laporan Bernama.
Semalam, Anwar menolak permohonan polis untuk mendapatkan sampel DNA secara sukarela.
Polis juga gagal mendapatkan kebenaran beliau untuk mengadakan pemeriksaan perubatan penuh terhadapnya semasa berada di HKL.
Bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar pada 26 Jun lalu.
Anwar telah memfailkan saman mendakwa Mohd Saiful membuat laporan palsu.
Sementara itu, malam tadi, Wan Azizah terperangkap di dalam lif di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) malam tadi ketika beliau melawat dan menghantar barang untuk suaminya IPK KL.
Semasa kejadian pada jam 11.50 malam, lif dipercayai tersekat ketika Dr Wan Azizah yang ditemani anaknya Nurul Hana, menekan butang lif.
Sementara itu, Balai Bomba Hang Tuah mengesahkan menerima panggilan pada 12.02 pagi mengenai kejadian tersebut dan satu jentera bomba dikejarkan dan sampai ke tempat kejadian pada pukul 12.08 pagi.
Dr Wan Azizah dan anaknya berjaya dikeluarkan pada jam 12.25 pagi.
The King, his family and U
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment