Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sekinchan, Ng Suee Lim sedia menghadapi tindakan mahkamah berhubung dakwaannya mengenai nilai sebenar kediaman Datuk Seri Dr Mohammad Khir Toyo.
Suee Lim berkata, sebagai ahli politik beliau tidak akan mengalah dan bersedia menghadapi cabaran di dalam usaha untuk membongkar penyelewengan para pemimpin politik negara ini.
“Saya bersedia sekiranya Khir Toyo ingin saman saya berhubung kenyataan mengenai istananya yang bernilai RM24 juta itu kerana saya yakin, dakwaan saya adalah benar berdasarkan bukti dan maklumat daripada kontraktor yang mengubahsuai rumah itu.
“Saya juga hairan, kawasan kediaman yang paling besar di kawasan itu ditambah pula kos pengubahsuaian yang menggunakan peralatan dan perabot import dari Bali itu hanya bernilai RM 3.5 juta sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini,hari ini.
Sementara itu, Suee Lim berkata, beliau berbesar hati menerima tawaran Khir Toyo untuk melantiknya sebagai ejen hartanah bagi menjual kediaman seluas 52 meter persegi itu.
“Saya terima tawaran Khir Toyo dan saya minta agar dia menghantar surat tawaran terbuka dan menyerahkan kunci rumah terbabit supaya saya dapat membawa pembeli melihat rumah itu.
“Sekarang pun saya sudah ada dua, tiga pembeli yang berminat untuk membeli rumah itu. Saya harap Khir Toyo mengotakan janjinya untuk memberikan 50 peratus komisen tersebut,” katanya.
Kelmarin, Khir Toyo memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya dakwaan Suee Lim mengenai nilai sebenar kediamannya yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam sebanyak RM24 juta adalah tidak benar.
Khir Toyo turut melahirkan hasratnya untuk melantik Suee Lim sebagai ejen hartanah bagi menjual kediaman tersebut dengan harga RM 24 juta dan menawarkan 50 peratus komisen dari hasil jualannya.
Dalam pada itu, Suee Lim turut mempersoalkan bagaimana Khir Toyo mampu menjelaskan bayaran ansuran kediaman terbabit sebanyak RM16,709 sebulan sedangkan elaun bulannya sebagai ADUN Sungai Panjang hanya sekitar RM8 ribu sahaja.
“Apa yang menghairankan adalah bagaimana beliau mampu membayar ansuran bulanan pinjamannya yang berjumlah satu kali ganda lebih banyak dari elaun bulannya.
“Sekiranya wang yang dia dapat diperolehi dengan cara halal, saya setuju benar dan ingin belajar daripadanya cara-cara menjadi jutawan dalam masa yang singkat,” katanya.
Suee Lim turut menyangkal kenyataan Khir Toyo yang mendakwa beliau kurang senang dengan tindakan Khir Toyo yang sering melawat ke Sekinchan.
“Saya tidak pernah marah terhadap tindakan Khir Toyo melawat ke kawasan saya (Sekinchan) kerana inilah lumrah dunia politik yang sering dikritik dan mengkritik.
“Saya mengalu-alukan lawatannya dan saya harap dia akan membawa lebih banyak dana dan sumbangan kepada penduduk di Sekinchan,” katanya.
Sementara itu setelah sekian lama berdiam diri disebalik pelbagai pertuduhan rasuah yang berpalit pada pemimpin-pemimpin politik Umno-BN dan GERAK mula bertindak. Kali ini memfailkan laporan kepada SPRM Selangor berhubung kontroversi rumah agam Khir Toyo.
The King, his family and U
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment