Kelantan Akan Pastikan Kerajaan Pusat Bayar Royalti Minyak 1 Billion


Isu tuntutan royalti minyak kerajaan negeri Kelantan, PAS terus bertegas menuntut ia wajar diperjelaskan secara terbuka melalui forum menampilkan tiga pihak terbabit iaitu Petronas, wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, demikian tulis Mohd Zuharman.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, berpendapat melalui cara tersebut ia akan dilihat lebih telus dan adil terutama dari kalangan rakyat dan kerajaan Kelantan sendiri dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Pada asasnya kerajaan negeri tidak menolak kenyataan kerajaan Pusat menyerahkan kepada Petronas untuk menjawab isu tersebut namun sedikit keraguan bidang kuasa dimonopolinya akan mempengaruhi petronas memberi jawapan berunsur politik.

Justeru Husam mengambil langkah profesional mencabar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berdebat bagi merungkai isu yang dianggap berprestij itu.

“Kita ingin bincang perkara ini berdasarkan hujah undang-undang dan dokumen, sebab itu dicadangkan satu forum ataupun debat diadakan di Manek Urai, di mana Datuk Mustapa mewakili kerajaan Malaysia dan Petronas, dan saya mewakili kerajaan Kelantan,” katanya selepas merasmikan program Cakna Keluarga.

Tiga bulan lalu kerajaan Kelantan menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum, Tan Sri Mohd Hassan Merican, mencadangkan pendaratan gas dari PM301 ke Bachok.

Manakala sebulan lepas kerajaan Kelantan sekali lagi menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak, bagi menuntut royalti tersebut.

Kerajaan negeri membuat tuntutan tertunggak sejak 2004 yang dianggarkan kira-kira RM1 bilion selaras dengan akta Petroleum di mana negeri berhak kepada royalti sebanyak lima peratus apabila didiisytihar sebagai pengeluar minyak.

Cadangan Husam disambut baik Mentri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kerajaan negeri akan tetap buat tuntutan itu kerana itu adalah hak rakyat Kelantan. Dan perkara yang boleh menambah ilmu dan pengetahuan wajar diterjemahkan melalui forum,” jelasnya yang juga Mursyidul Am Pas.

Menurut Husam juga, satu tinjauan ke kawasan pelantar minyak akan dianjur bersama ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Ogos depan. Mustapa dan Khairy Jamaluddin akan turut diundang bersama dalam program tinjauan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan PAS telah ketandusan idea apabila terus membangkitkan isu tuntutan royalti minyak sebagai bahan kempen mereka sedangkan ia telahpun dimaklum Petronas akan jawab persoalan berkenaan.

“Tindakan PAS tidak lebih daripada sekadar menagih simpati politik,” jelasnya sambil menolak cadangan dikemukakan PAS.

Sebelum itu, Muhyiddin ditemani Mustapa dan Ketua Umno Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman, menunaikan solat Jumaat di Masjid Temalir, berharap Petronas tidak memberi jawapan politik sebaliknya berasaskan undang-undang dan keadilan.

“Biar rakyat tahu dengan maklumat dan mereka tidak boleh lagi menyembunyikan hak rakyat Kelantan,” ujarnya.

0 comments: