Penyanyi kontroversi Amerika Syarikat, Michael Jackson, memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mikaeel, nama malaikat yang memberi rezeki.
Superstar muflis berusia 50 tahun itu dilaporkan memakai jubah dan kopiah ketika mengucap dua kalimah syahadah di hadapan seorang imam dalam satu majlis di sebuah rumah rakannya di sini.
Akhbar The Sun dalam laporannya semalam mendedahkan majlis itu diadakan beberapa hari sebelum Jackson atau ‘Jacko’ dihadapkan ke Mahkamah Tinggi London, selepas disaman oleh seorang putera Arab.
Jacko yang dibesarkan sebagai penganut Kristian, dikatakan mengambil keputusan menukar agamanya ketika beliau menggunakan studio di rumah kawan rapatnya untuk merekodkan album baru.
Rakannya, David Wharnsby seorang penulis lagu Kanada dan produser Philip Bubal, yang menasihatkan Jacko supaya memeluk Islam. Kedua-duanya juga sudah memeluk Islam dengan nama baru mereka Dawud Wharnsby Ali dan Idris Philips.
“Mereka mula berbincang mengenai agama dan bagaimana mereka menjadi seorang yang lebih baik dengan menukar agama. Tidak lama kemudian Michael mula menerima idea itu,” kata sumber yang dipetik akhbar itu.
Jacko yang merakamkan lagu terkenal seperti The Way You Make Me Feel, bagaimanapun menolak nama alternatif, Mustafa bermaksud orang yang terpilih.
Penyanyi Britain, Yusuf Islam, 60, atau nama asalnya, Cat Stevens, mengalu-alukan Jacko sebagai saudara baru.
Jacko kini berdoa untuk ke Makkah selepas satu majlis diadakan di rumah pemain keybord Toto, Steve Porcaro, 51, di Hollywood Hills yang menyusun album Thriller penyanyi itu.
Jacko, yang jarang keluar rumah tanpa memakai topeng, dijangka memberi keterangan Isnin ini dalam tuntutan saman berjumlah £4.7 juta (RM25.3 juta) oleh Putera Abdulla Al-Khalif dari Bahrain. -Agensi BH
The King, his family and U
2 weeks ago
0 comments:
Post a Comment