Lompat Parti yang melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN

Cakap-cakap lompat parti yang melibatkan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berlaku makin hangat ekoran kenyataan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang memberikan kiasan politik mengenai perkara berkenaan. Jika selama ini isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah yang sudah berlarutan lebih 20 tahun tidak begitu diberikan perhatian, kini ia menjadi isu nasional apabila wujudnya ‘ancaman’ lompat parti akan berlaku. Bagi beliau ada dua ‘tingkap’ yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan dengan segera. Tingkap pertama ialah peluang bagi kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dan jika peluang ‘tingkap’ pertama itu tidak dimanfaatkan maka ‘pintu’ kedua akan terbuka iaitu kemungkinan berlakunya lompat parti.
Bercakap kepada Agendadaily, beliau memberikan bayangan ‘pintu’ pertama tersebut mesti diselesaikan menjelang Ogos akan datang. Nama Yong Teck Lee disebut-sebut menjadi orang penting dalam isu melompat parti di kalangan Ahli-Ahli Parlimen BN. Pagi Selasa, Teck Lee difahamkan telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ditanya mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, beliau enggan mengulas tetapi memberi bayangan bahawa pertemuan itu hanya memberikan beliau penegasan semula bahawa usaha-usaha sedang diambil bagi menangani isu-isu rakyat dan negeri Sabah yang dibangkitkan. “Saya cuma mendapat penegasan semula dariapda pertemuan itu dan tiada sesuatu yang kukuh diberikan,” ujar beliau. Bagaimanapun jelas beliau, beliau akan memberikan masa kepada pucuk pimpinan untuk menyelesaikan masalah yang timbul sesuai dengan jaminan usaha-usaha sedang diambil. Menjawab soalan mengenai isu lompat parti, Teck Lee ulangi bahawa isu sebenarnya bukan soal lompat parti tetapi pelaksanaan janji-janji pembangunan untuk Sabah. Cumanya tambah beliau, isu yang melibatkan rakyat dan negeri Sabah menjadi hangat ekoran adanya kemungkinan lompat parti yang berlaku. “Selama ini, isu-isu Sabah tidak mendapat perhatian. KIni bila muncul cerita akan berlakunya lompat parti barulah isu-isu Sabah ini menjadi penting... kenapa… sebab ia akan menjejaskan kedudukan BN dan kerajaan persekutuan,” jelasnya. Ditanya sama ada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menemui beliau, Teck Lee dengan tersenyum hanya memberitahu: “Sebagai pemimpin politik kita kena bertemu dan berdialog selalu demi kepentingan rakyat”. Ditanya, tarikh 16 September yang disebut oleh Anwar sebagai tarikh akan berlakunya perubahan politik negara ini, Teck Lee berkata, Anwar mempunyai kelebihan memainkan sentimen sebab tarikh itu amat bermakna bagi rakyat Sabah dan Sarawak kerana ia bersempena dengan penubuhan Malaysia.

0 comments: