Mari kita serbu Parlimen!


Dalam bisik-bisiknya, Awang Selamat merungut seperti berikut:

Apa sudah jadi dengan keadaan di bangunan Parlimen kita? Sejak penggal baru persidangan Dewan Rakyat bermula bulan lalu, suasana lobi Parlimen jauh berubah.

Lobi Parlimen sepatutnya ruang yang dihadkan untuk Ahli Parlimen dan mereka yang berkenaan atas tujuan tugas seperti pegawai kementerian dan wartawan.

"Tetapi kini hampir semua orang boleh berada di situ. Ada yang mahu menyebarkan risalah, menyerahkan memorandum dan berhimpun untuk mendesak kerajaan, menjadikan suasana hingar-bingar.

NGO tertentu seperti HINDRAF boleh mengadakan sidang akhbarnya, malah sampai ke tahap mengadakan majlis hari jadi di situ, sebagaimana yang ber- laku semalam.

Awang geleng kepala macam tidak percaya. Maka tidak hairanlah ramai yang menganggap kawasan Parlimen kita seperti pasar dan kelab sukaria. Mungkin kita tidak peduli tentang aspek keselamatan dan eksklusif Parlimen sebagai bangunan strategik.

Rasanya tidak ada negara lain membenarkan keadaan sedemikian di bangunan Parlimen atau Senat mereka.

Jika begini keadaannya, jangan terkejut kalau ada kumpulan manusia yang pelik-pelik akan berkampung di situ se- lepas ini.

Awang � Banyak geleng kepala.

Ini negara demokrasi. Awang Selamat ada hak demokratik untuk merungut. Akhbar Awang Selamat juga menyiarkan berita bertajuk "Lobi Parlimen jadi kelab suka ria". Tidak mengapa. Itu juga hak demokratik mereka.

Saya pun pergi Parlimen semalam. Hantar seorang ahli Parlimen. Memang ramai rakan-rakan dari kaum India.

Walaupun sekejap sahaja saya pergi, seingat saya, rakan-rakan dari kaum India itu hanya menziarahi para pemimpin yang bersimpati dengan mereka. Mereka tak buat kacau apa pun. Kalau nak dikirakan, keadaan di luar Dewan jauh lebih aman dari di dalam Dewan.

Memanglah, nak ziarah ahli-ahli Parlimen untuk memohon mereka menyuarakan masalah kita, kena pergi Parlimenlah. Di situlah ahli-ahli Parlimen berkumpul. Boleh jumpa mana-mana ahli-ahli Parlimen yang kita jangka bersimpati dengan kita.

Sama seperti hendak berjumpa mak ayah kita. Memang boleh jumpa di tepi jalan, tepi longkang, di warung teh tarik, di kedai pasu bunga atau hon dari jauh sambil pecut kereta. Tetapi lebih elok kalau kita balik kampung jumpa mak ayah kita. Jumpa di rumah mereka lebih selesa. Macam-macam kita boleh cerita atau mengadu.

aya tak tahu la. Tetapi jarang benar saya dengar mak ayah yang komplen "apa ni mari ramai-ramai ni! Daripada aman tenteram dan jadi riuh-rendah rumah aku. Dah jadi macam Central Market. Ni sambut pulak hari jadi di sini. Dah jadi macam kelab suka ria pulak!"

Selalunya mak ayah akan suka kalau anak cucu mari ramai-ramai rumah mereka.

Di Parlimen semalam, "mak ayah" (kalau ahli-ahli Parlimen boleh diumpamakan mak ayah rakyat) yang baik-baik dan bertanggungjawab tersenyum berseri-seri muka mereka menyambut kedatangan "anak cucu" (kalau rakyat diibaratkan anak cucu). Contohnya Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub. Selain beberapa ahli Parlimen lain, beliau dicium dan mencium anak kecil yang menyambut hari jadi itu. Jangan lupa, anak kecil itu India dan Salahuddin pula Melayu campur Cina.

Itu "mak ayah" yang baik-baik dan bertanggungjawab. Ramai juga ahli Parlimen yang bermuka masam atau sekurang-kurangnya menunjukkan sign of disapproval di wajah mereka. Adakah itu "mak ayah" jenis sakit jiwa, gila dan kurang ajar? Dan selepas ini, saya harap rakyat semakin tahu nak pilih "mak ayah" yang mana.

Itu satu perkara. Seperkara lagi ialah mengenai undang-undang dan peraturan. Saya bukan peguam. Saya jahil undang-undang. Kalau siapa-siapa pandai undang-undang, tolong beritahu ada atau tidak sebarang undang-undang dan peraturan yang menghalang rakyat datang beramai-ramai menziarahi Ahli Parlimen, mengambil kesempatan bergambar, makan minum di tempat yang boleh makan minum dan menyanyi lagu Happy Birthday?

Kalau tidak ada undang-undang dan peraturan sedemikian, ada atau tidak sebarang konvensyen atau sebarang kesepakatan umum yang melarang perkara sedemikian? Kalau sekiranya ada, adakah konvensyen atau kesepakatan umum itu sesuai dengan Parlimen yang menjadi pusat demokrasi di negara kita? Saya tidak mahu sebut temple of democracy sebab bukan semua orang beragama demokrasi.

Adakah Parlimen tempat menggubal undang-undang, meminta penjelasan, berbahas dan berhujjah sahaja? Bukankah di menara bersebelahan bangunan yang menempatkan dewan-dewan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu terdapat pejabat-pejabat ahli-ahli Parlimen ketika mereka bersidang?

Adakah pejabat-pejabat tersebut tidak boleh digunakan untuk urusan-urusan lain selain urusan Parlimen sahaja? Adakah pejabat itu tidak boleh digunakan untuk urusan rakyat, urusan parti dan sebagainya? Kalau tidak boleh, tidakkah Perdana Menteri juga menggunakan pejabatnya di situ untuk memaksa Ahli-Ahli Parlimen partinya mengikrarkan taat setia kepadanya Selasa lalu?

Dan, kalau begitu ramai rakyat yang hendak berjumpa begitu ramai ahli Parlimen yang mereka harapkan untuk membantu dan membela mereka, adakah lobi Parlimen tidak boleh digunakan? Apa undang-undang dan peraturan yang tidak mengizinkan mereka berbuat demikian?

Persoalan selanjutnya, bukankah Parlimen diwujud, dibina dan digunakan demi kepentingan rakyat? Dari rakyat untuk rakyat. Jika benar Parlimen diwujud, dibina dan digunakan demi kepentingan rakyat, apa salahnya rakyat datang beramai-ramai untuk mengadukan masalah dan penderitaan mereka kepada seberapa ramai pun ahli Parlimen yang sudi membuka telinga dan jiwa kepada mereka?

Lebih penting dari semuanya, jika benar Parlimen diwujud, dibina dan digunakan demi kepentingan rakyat, saya mohon kepada semua rakyat, setiap kali kita ada masalah, mari kita serbu Parlimen beramai-ramai! (penarikbeca.blogspot.com)

0 comments: