Polis beri permit lancar kempen anti-ISA malam ini


Majlis pelancaran kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang gagal disempurnakan bulan lalu, akan dilancarkan semula malam ini.

Kali ini, pihak penganjurnya telah mendapatkan permit polis untuk mengadakan majlis pelancaran tersebut di Stadium Bandar Baru Bangi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi hari ini.

Katanya, polis memberi permit tersebut dengan syarat perhimpunan itu diadakan di dalam stadium tersebut.

Kamaruzaman yang juga penyelaras lokasi untuk program itu berkata, pada mulanya, permohonan penganjur mengadakan program berkenaan tidak diluluskan.

Namun, tambah beliau, setelah rayuan dibuat, polis memberikan kebenaran minggu lalu.

Wakil keluarga tahanan berucap

Pelancaran itu akan dilakukan bersama oleh ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat pada jam 9 malam ini.

Mereka terdiri daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan seorang wakil DAP.

Wakil keluarga tahanan ISA, Norlaila Othman dan wakil mahasiswa adalah antara pemimpin lain yang dijadual turut berucap di majlis tersebut.

Kamaruzaman berkata, stadium tersebut boleh memuatkan 15,000 penonton, termasuk di bahagian padang.

Beliau menambah, perhimpunan itu pada mulanya dijadualkan di Stadium Selayang tetapi ditukar ke Stadium Bandar Baru Bangi ekoran kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dijalankan di Stadium berkenaan.

Seramai 250 Unit Amal PAS daripada Wilayah Persekutuan dan Selangor dikerahkan malam ini bagi mengawal keadaan dan lalu-lintas, katanya.

Syed Ibrahim di Mekah

Sebelum ini, majlis pelancaran kempen itu hendak diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada malam 23 November lalu.

Bagaimanapun, pihak polis telah bertindak menyuraikan orang ramai yang berhimpun di situ kerana ia tidak mendapat permit polis.

Polis turut menahan sembilan orang termasuk Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Kempen tersebut adalah anjuran bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) serta parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh tidak dapat menghadai majlis malam ini kerana masih berada di tanah suci.

Acara kemuncaknya adalah perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Mac tahun depan.


Baca Selanjutnya...

Pengajaran di sebalik Hijrah Rasulullah s.a.w


Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam keseluruhannya. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah buat perkembangan Islam itu sendiri. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah SAW.

Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.

Peristiwa pengorbanan Saidina Ali ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Banyak lagi kisah pengorbananan yang telah dilakukan oleh para sahabat demi Rasulullah yang tercinta. Begitulah para sahabat nabi yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir bahkan dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.

Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.

Persoalannya, adakah kita generasi kini menyedari hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam hijrah Nabi sebagai pedoman dalam kehidupan kita? Saban tahun kita meraikan sambutan 'Maal Hijrah', namun apakah ianya merupakan sambutan semata-mata? Apakah yang kita fahami tentang hijrah? Adakah hijrah sekadar perpindahan yang berbentuk fizikal semata-mata?

Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan dihayati. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: �Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.� (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hijrah bermaksud meninggalkan larangan Allah

Daripada kenyataan ini dapatlah kita fahami bahawa hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata tetapi hijrah juga ialah perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Hijrah Rasulullah S.A.W memberi iktibar kepada kita mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadat khusus semata-mata. Lebih luas daripada itu peranan kita adalah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Di antara tugas-tugas sebagai khalifah adalah seperti yang dijelaskan oleh Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah iaitu menjaga agama dan mentadbir dunia.

Dua perkara ini tidak mampu direalisasikan tanpa semangat jihad dalam diri kita. Jihad merupakan pengorabanan dari pelbagai aspek demi memastikan tertegaknya Islam di muka bumi ini. Melawan nafsu juga merupakan suatu jihad. Namun dalam konteks hari ini, semangat jihad sudah kian hilang di hati umat Islam. Umat Islam hari ini lebih mementingkan nafsu daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Umat Islam sesama sendiri berkelahi kerana pangkat, harta dan wanita. Adakalanya umat Islam sendiri sanggup berkomplot dengan golongan kuffar demi kepentingan tertentu. Sekiranya inilah perangai kita, apakah kita layak digelar sebagai khalifah Allah.?

Marilah kita mencontohi para sahabat yang sanggup berkorban demi kepentingan Islam. Sesungguhnya Hirah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, perpaduan dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut sambutan Maal Hijrah jika kita semakin jauh dengan Islam? Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.

Seharusnya peristiwa hijrah telah mengajar kita bahawa perpaduan amat penting dalam kita membangunkan sesebuah negara. Cuba kita renungkan kembali bagaimana perpaduan yang telah terjalin anatara kaum Muhajirin dan Ansar di bawah bumbung Islam telah berjaya mambentuk khilafah Islamiyah. Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyaksikan bangsa, kaum dan etnik, maka amat wajar umat Islam di Malaysia mempamerkan semangat toleransi dan kasih sayang selari dengan ajaran Islam yang amat menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Peristiwa hijrah juga memperlihatkan kepada kita komitmen Rasulullah sebagai seorang pemimpin dalam memastikan tertegaknya ummah yang beriman, bertaqwa, bersatu padu dan hormat menghormati, baik sesama mereka mahu pun orang bukan muslim. Inilah sikap yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin.

Seorang pemimpin tidak sekadar membangunkan masyarakatnya dari sudut fizikal dan material semata-mata bahkan turut membangunkan jiwa masyarakatnya dengan mendekatkan mereka kepad Allah SWT. Sejarah telah mengajarkan kepada kita bagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu di saat kegemilangan tamadun Islam adalah pemimpin yang menghormati golongan ulama dan sentiasa meminta nasihat daripada mereka sama ada urusan negara mahupun peribadi. Hal ini kerana golongan ulama merupakan golongan yang arif berkenaan soal agama, justeru demi memastikan pimpinan mereka tidak terkeluar dari landasan Islam, pemimpin-pemimpin tersebut sentiasa memastikan golongan ulama sentiasa di sisi mereka.

Sesungguhnya di sebalik peristiwa hijrah terkandung pelbagai lagi iktibar dan pengajaran yang dapat kita perolehi. Soalnya lagi sejauh mana kita benar-benar menghayati sambutan maal hijrah dalam memberikan kesan yang positif terhadap diri kita? Hijrah menuntut perubahan dari segala aspek ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang hari ini lebih baik dari semalam. Marilah sama-sama kita menjadi mereka yang beruntung.- azm

( Penulis adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam, Univesiti Sains Islam Malaysia (USIM) ) _

Baca Selanjutnya...

Lancarkan demonstrasi, boikot dan solat hajat lindungi rakyat Palestin!

Selepas PAS mengutuk serangan Israel di Gaza, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa supaya dilancarkan demonstarsi di seluruh negara bagi menyatakan bantahan keras terhadap tindakan biadap Israel itu.

Selain turut mendesak supaya bantuan ketenteraan daripada negara-negara Islam dihantar segera untuk melindungi rakyat Gaza.

Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Persidangan Negara-negara Islam (OIC) mesti segera bersidang untuk melaksanakan kerahan bantuan ketenteraan ini kerana serangan yang tidak berperi kemanusiaan itu telah mengorbankan lebih 200 orang dan ratusan lagi tercedera malah kesannya bukan sahaja mempengaruhi keadaan semasa di Gaza tetapi dalam jangka masa panjang juga kerana banyak kemudahan awam seperti hospital,air dan elektrik telah musnah dalam serangan tersebut.

"Kita menyeru umat Islam seluruh negara mengadakan dan solat hajat dan demonstrasi di semua masjid bagi menyatakan bantahan keras terhadap serangan ini.

"Umat Islam di Malaysia mesti menegaskan pendirian terhadap negara pengganas Israel yang didalangi Amerika Syarikat. Untuk itu umat Islam mesti memperharui serta mempertajam kempen boikot terhadap produk Amerika da Israel," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam masa yang sama Teras juga mengesa supaya semua kerajaan negara-negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika yang menghalalkan tindakan Israel di Gaza. - azm _


Baca Selanjutnya...

Penyertaan Dato' Zahar ke dalam PAS dialukan Mursyidul Am


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kemasukkan Kapten(B) Dato' Zahar Hashim dalam PAS menjadikan satu tanda kehancuran Umno semakin jelas.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kedatangan pelabur dari China, Presiden Beijing Good to Great Investment Co.Ltd, Madam Qiao Li yang juga merupakan usahawan terkenal dalam bidang pertanian.

Menurut Nik Aziz, kini ramai pemimpin Umno yang berkaliber sudah terbuka hatinya dalam menilai sendiri keburukan yang berlaku dalam Umno dan mereka telah membuat pilihan tepat untuk membela agama Islam dengan menyertai PAS.

Di saat berlakunya Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Umno menerima tamparan hebat bila ada ahli Umno menyertai PAS dan sanggup turun padang menjelaskan isu semasa kepada pengundi di Kuala Terengganu nanti.

Nik Aziz juga berharap Dato' Zahar akan istiqamah dalam membantu memperjuangkan kedaulatan Islam bersama ahli PAS yang lain.

"Saya menyeru kepada pengundi di Kuala Terengganu agar mengetepikan fahaman kebangsaan yang dibawa oleh Umno/BN dan kembali kepada semangat untuk membela agama Islam, sudahlah pecah belah antara kaum masih tak selesai, sedangkan Islam adalah untuk semua kaum," ujar beliau.

"Saya syukur pada Allah S.W.T yang sudah buka hati Kapten Zahar, satu anugerah daripada Allah untuk buka pintu hati orang sebegini hebat dalam Umno dan beliau yang banyak pengalaman telah berani dedahkan kepincangan Umno dan kerajaan," katanya lagi.

Sebelum ini, Kapten(B) Dato' Zahar Hashim Ketua bahagian Petaling Jaya Selatan bersama dengan 13 AJK bahagian dan 28 ketua Umno cawangan telah menyertai PAS dan telah menyerahkan boring keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat ISa dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali.

"Umno sekarang ni banyak kepincangan, dalam saat-saat sekarang ni, Umno gantung ahli, buang ahli dan banyak masalah dalaman mereka sedangkan yang masuk Umno tak dak pun dan ini menggambarkan Umno menuju ke arah kehancuran," katanya lagi.

Menyentuh tentang isu hudud yang digemburkan kini, beliau berkata ia hanyalah mainan mereka yang tertentu sahaja.

"Dulu amat susah nak sedarkan masyarakat bahawa politik dan Islam tak dapat dipisahkan, begitu juga hudud ni, yang pentingnya kami berusaha untuk jadikan ia sebagai undang-undang dan terpulang kepada pihak hakim yang akan menentukannya," ujar beliau lagi.

Berkaitan dengan sokongan kaum lain terhadap PAS kini yang semakin ketara, beliau berharap kaum cina dan India di Kuala Terengganu juga menyedari perkembangan ini dan seterusnya memberi sokongan kepada calon PAS nanti. - mns_


Baca Selanjutnya...

Hijrah dan Pilihanraya

PRK Kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tahun depan 1430H/2009H benar-benar diadakan pada awal tahun baru Hijrah 1430 dan tahun Masehi 2009.

Hijrah yang disebut oleh Nabi saw: "Tidak ada Hijrah sesudah Makkah dibuka, melainkan jihad dan niat". (HR Bukhari dan Muslim)

Pilihanraya adalah satu proses demokrasi untuk memilih pemimpin. Khusus kepada pengundi di Kuala Terengganu, memilih pemimpin bukan sekadar suka-suka untuk dapatkan wang rasuah politik yang telah menjadi budaya politik UMNO/BN sejak sekian lama membarah dan membudaya sehingga rakyat tidak lagi dapat bezakan antara yang halal dengan yang haram dalam menentukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dari perspektif Islam.

Berhijrahlah dengan semangat Hijrah Rasulullah saw, Abu Bakar As-Siddiq, para sahabat dan umat Islam Makkah sanggup meninggalkan tanah tumpah darah untuk berpindah ke Kota Madinah.

Ambillah pengalaman itu untuk dijadikan panduan hijrah memilih pemimpin yang terbaik. Terbaik dalam kepimpinan, terbaik dalam pergaulan dengan rakyat yang dipimpin, terbaik dalam usaha melaksanakan amanah dan terbaik dalam menguruskan keperluan rakyat.

Jihad
Jihad adalah perintah Allah dan menjadi kerja para anbiya. Jihad bererti berjuang bersungguh-sungguh. Semangat ini mesti ada dalam jiwa raga, pemikiran dan emosi umat Islam serta seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengundi PRK Kuala Terengganu.

Pengundi Kuala Terengganu mesti berjihad dan berjuang dengan semangat Hijrah Rasulullah saw, para sahabat dan umat Islam Makkah, supaya kita menjadikan Kuala Terengganu seperti Kota Madinah.

Lihat perkembangan Kota Madinah sejak dari awal Nabi saw mula-mula tiba di Madinah. Golongan Ansar yang menyambut ketibaan Muhajirin dengan rasa kasih sayang, bersedia menolong dan menyediakan apa saja keperluan Muhajirin yang datang ke Madinah tanpa apa-apa kerana semua harta, perniagaan mereka tinggalkan di Makkah

Niat
Niat mesti betul semata-mata kerana Allah. Niat hijrah mesti semata-mata kerana Allah. Rasulullah saw menegaskan INNAMAL 'AMAALU BIN-NIYAATI...setiap amalan mesti dengan niat.

Juga niat memilih pemimpin mesti betul kerana Allah. Niat mengundi juga kerana Allah. Bukan niat kerana hendak dapatkan habuan wang ringgit. Bukan niat untuk mengundi pemimpin yang kaya kerana rasuah.

Amal tanpa niat akan sia-sia. Kerja tanpa berniat juga sia-sia. Hijrah tanpa niat juga sia-sia. Amal, kerja dan Hijrah akan mengikut apa yang kita niat. Belajar, berniaga, bekerja, berkebun, berkhidmat dan apa jua mesti berniat kerana Allah.

Salah niat hasilnya akan dapat apa yang diniatkan. Misal seorang peniaga hanya berniat mahu kaya, tetapi lupa niat berniaga kerana Allah. Mungkin dia boleh kaya, tetapi pasti perniagaannya tiada keberkatan dan jauh dari rahmat dan lindungan Allah. Banyak bukti peniaga yang dulu kaya raya akhir dipenghujung hidupnya muflis. Ada kemungkinan tersalah niat dan sumbernya tidak halal.

Samalah situasinya seorang pengundi yang mengundi untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat semata-mata mahu dapat wang tambang atau mahu dipilih jadi ketua cawangan atau seumpamanya.

Akhirnya, berjihadlah untuk kita menangkan calon Pakatan Rakyat/PAS dalam pilihanraya PRK Kuala Terengganu dan berniatlah untuk mengundi calon yang terbaik, amanah, beriman dan ikhlas dalam perjuangan Islam, menegakkan keadilan dan melaksanakan amanah.

Sekian.

*gambar hiasan sahaja"


Baca Selanjutnya...

Hudud hanya untuk orang Islam - Presiden PAS


Memahami keresahan masyarakat bukan Islam, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa pelaksanaan Hudud hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam.

Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum Hudud dilaksanakan di negara ini sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu, katanya.

"PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

Pada kita, tidak timbul lagi soal Hudud kerana ia telah diluluskan di DUN(Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Jom Sertai Pas' di Dataran Shah Alam semalam.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau berkata belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

Abdul Hadi dalam pada itu menyatakan hukum Hudud di negara ini hanya akan dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

"Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga," katanya yang dipetik daripada agensi berita. - azm _


Baca Selanjutnya...

MAAL HIJRAH - 1 MUHARRAM 1430 HIJRAH (29 DECEMBER 2008)


Semoga dengan kehadiran tahun baru ini, maka bertambahlah ketaqwaan kita kepada yang maha Esa, InsyaAllah.

Doa Awal Tahun & Doa Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun
(Doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah - Ahad 30 Zulhijjah 1429H bersamaan 28 December 2008)

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
"Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun
(Doa awal tahun dibaca 3 kali selepas Maghrib - Isnin 1 Muharam 1430H/ 29 Decmber 2008)

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, Insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Maksudnya:
Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Peristiwa-peristiwa penting:
1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.


Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
1) Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
2) Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
3) Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
4) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
5) Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
6) Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
7) Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
8) Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
9) Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
10) Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
11) Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
12) Hari pertama Allah menciptakan alam.
13) Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
14) Hari pertama Allah menurunkan hujan.
15) Allah menjadikan 'Arasy.
16) Allah menjadikan Luh Mahfuz.
17) Allah menjadikan alam.
18) Allah menjadikan Malaikat Jibril.
19) Nabi Isa diangkat ke langit.



Baca Selanjutnya...

Zahar sertai PAS, kempen di KT


Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini.

Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Zahar (foto) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Zahar juga menyumbangkan pejabat Umno bahagian - dipercayai milik beliau sendiri - kepada PAS kawasan tersebut.

Pejabat itu, yang telah ditutup selama tiga minggu, akan dibuka semula besok dan kakitangan di situ akan turut bekerja bagi pihak parti barunya.

Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini.

Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon.

Kapten tentera bersara juga menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu sebagai punca yang menyebabkan beliau melompat parti.

PAS lebih baik...

Sejak keputusan pilihanraya umum 8 Mac lepas yang menyaksikan ketewasan besar BN di beberapa negeri termasuk Selangor, kata Zahar lagi, beliau bersama para penyokongnya sering memikirkan untuk meninggalkan Umno.

Dalam ucapannya, Zahar berkata, beliau tidak lagi menghormati pemimpin tertinggi Umno kerana keputusannya tidak mengambil kira kepentingan dan kehendak rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya, PAS dan Umno adalah sama tetapi PAS lebih baik dari Umno.

"Umno hari ini banyak berbeza dengan Umno yang saya sertai 26 tahun lalu," katanya.

Menurut Zahar lagi, tahun lalu beliau ditawarkan mengambil alih jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, untuk menggantikan Tan Sri Onn Ismail yang uzur, tetapi beliau menolaknya.

"Saya tiga kali berturut-turut ditawarkan bertanding dalam pilihanraya umum, saya juga menolaknya kerana perlu memberi peluang kepada pemimpin lain di peringkat bahagian," katanya.

Sementara itu Nasharuddin (foto, kanan) ketika berucap di majlis tersebut berkata, program pertama Zahar sebagai ahli PAS ialah menemui presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila dalam masa terdekat.

"Zahar sudah bersama kita sekarang sebagai jentera penggerak dan anggota parti untuk membela bangsa, agama dan negara.

Zahar ke KT

"PAS bergerak di Selangor kerana hendak melaksanakan perubahan untuk membela orang Melayu dan orang bukan Melayu," katanya.

Manakala Dr Hasan (foto, kiri) dalam ucapannya berkata, Zahar dan yang lain-lainnya menyertai PAS bukan untuk mendapat projek dan kekayaan.

Tetapi, katanya, mereka berbuat demikian untuk mendapatkan keredhaan Allah.

"Walaupun PAS kalah dalam pilihanraya, ahli PAS tetap bertambah. Kini sudah (mencecah) satu juta orang," katanya.

Dr Hasan juga berkata, Zahar akan turun ke Kuala Terengganu pada 5 Disember sehingga selepas pilihanraya kecil tersebut.


Baca Selanjutnya...

Bekas Ketua, 28 Ketua Cawangan dan 13 Jawatankuasa Bahagian Sertai Pas


UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan mungkin tutup kedai dan lumpuh ekoran bekas ketuanya Kept (B) Zahar Hashim, 60 berhijrah ke dalam Pas dan

Bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Dato' Abu Zahar Hashim yang dikenali ramai sejak mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter sah menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi tadi.

Turut hadir dalam majlis itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahrir.

Dalam masa yang sama Zahar turut 'mewakafkan' (infak) pejabat Bahagian Umno PJ Selatan kepada PAS kawasan sama. Difahamkan pejabat tersebut adalah milik beliau sendiri.

Sementara itu, Ustaz Nasharuddin mengalu-alukan kesudian beliau menyertai PAS sekaligus menghargai Zahar untuk sama-sama membantu kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu bermula 5 sehingga 17 Januari depan. Image

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.


Baca Selanjutnya...

Ahlan Wasahlan Kapten Zahar!

KEMASUKAN Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato' Zahar Hashim beserta 13 orang AJK bahagian dan 28 orang Ketua Umno cawangan hari ini merupakan suatu detik yang bersejarah bagi PAS Selangor.

Kapten Zahar digantung jawatannya oleh Majlis Tertinggi Umno berikutan kelantangannya membuat teguran terhadap kepimpinan parti yang didokonginya selama 26 tahun.

Lapan bulan masa diambil untuk berbincang mengenai pro dan kontra menyertai parti pembangkang (yang sudah menjadi kerajaan di Selangor) sesama rakan-rakan Umno di PJ Selatan.

Hakikatnya bagi Zahar, Umno hari ini sudah lari daripada perjuangannya untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam. Umno sudah lari daripada landasan asal perjuangannya.

26 tahun menganggotai Umno, sebagai Ketua Bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri, banyak lagi faedah, kemudahan sebagainya telah dinikmati beliau dan rakan-rakan. Tiada maknanya lagi kepentingan material bagi beliau.

Keputusannya menyertai PAS tidak didorong sesiapa, tiada permintaan apa-apa, tiada tawaran apa-apa, katanya beliau sudah lama memikirkannya, sejak Mac 2008 lagi.

Beliau dan rakan-rakan yang menyertai PAS, hanya mahu mencari redha Allah dan berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara melalui PAS.

Walaupun mungkin kemasukan Zahar dan rakan-rakanya ke dalam PAS, tidak boleh dijadikan kayu ukur yang menyebabkan kecacatan menyeluruh kepada Umno, namun tidak mustahil ia boleh menjadi titik tolak kepada kemusnahan Umno Selangor.

Kemasukan Zahar adalah manifestasi daripada kelesuan dan kegagalan kepimpinan Umno dari peringkat nasional hingga ke peringkat negeri,

Zahar dan rakan-rakan tidak lagi yakin, Umno layak menjadi platform bagi memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa.

Kemasukan zahar membeli implikasi bahawa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penggantinya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, adalah pemimpin yang gagal.

Gagal meyakinkan mereka untuk terus kekal dalam Umno. Abdullah gagal sebagai PM dan Presiden Umno. Najib juga gagal menampilkan diri sebagai bakal PM dan bakal Presiden yang boleh mengemudi kapal Umno.

Kemasukan Zahar juga adalah hasil daripada kelemahan kepimpinan Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai Pengerusi Umno Selangor, sebelum diambil alih oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Jika Umno Selangor pun Khir tidak mampu mengemudikannya, bagaimana beliau mampu untuk memenangi pertandingan Ketua Pemuda?

Dan jika Muhammad tidak mampu meyakinkan Umno Selangor untuk tidak berpecah atau menyertai parti lain, bagaimana Muhammad boleh meyakinkan perwakilan Umno seluruh negara untuk mengundinya ke jawatan Timbalan Presiden?

Tindakan Zahar dan rakan-rakannya ibarat membunuh dua ekor burung dengan satu busar panah sahaja.

Umno di peringkat nasional 'terpalit tahi', manakala Umno Selangor 'tersembam ke lubuk'.

Zahar dan rakan-rakannya juga menyebabkan Khir Toyo dan Muhammad Taib terpaksa 'menanggung malu' dengan rakan-rakan Umno seluruh negara kerana kegagalan kepimpinan mereka.

Kemasukan Zahar ke dalam PAS bukan perkara kecil. Ianya amat besar bagi Umno, besar bagi PAS juga.

Zahar, 13 AJK bahagian, 28 Ketua Cawangan, mereka bukan keseorangan, mereka ada pengaruh dan pengikut. 26 tahun Zahar dalam Umno, bermula dengan mengetuai bahagian Puchong, sudah tentu beliau cukup dikenali dan ramai rakan-rakan.

Sudah tentu beliau mengenali dan amat arif dengan kepimpinan Umno Selangor, malah beliau juga punyai rakan-rakan Umno dari seluruh negara.

Maka mengambil semangat Maal Hijrah pada 1 Muharram 1430 (29 Disember) ini, Zahar dan rakan-rakannya boleh mula 'berdakwah' dengan mengajak rakan-rakan yang lain sama menyertai PAS.

Bukan sekadar mengajak untuk menyedarkan mereka tentang kepincangan kepimpinan Umno sahaja, malah mengajak mereka untuk mencari redha Allah, berjuang tanpa memikirkan kepentingan diri secara individu.

Bahawasanya duduk di dalam PAS tidak menjanjikan apa-apa kepentingan atau kemewahan dunia.

Jika jawatan diperolehi, ianya adalah amanah. Jika wang ringgit diperolehi, ianya adalah untuk menjadikan kita lebih dermawan untuk membuat pelaburan di akhirat sana.

Marilah sama-sama kita berhijrah untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Ahlan Wasahlan Wa Marhaban bikum!_


Baca Selanjutnya...